Malaysiakini
BERITA

Darah munafik dah ditapis dari PAS, kata penyajak

Wartawan Malaysiakini

Diterbitkan
Dikemaskini 19 Jun 2019, 7:56 pagi

MUKTAMAR PAS | Dalam sajak yang dibaca ketika selingan majlis Muktamar Pemuda PAS Malaysia ke-60 yang berlangsung hari ini, pendeklamasi memanjatkan rasa syukur kepada Allah kerana "menapis darah-darah munafik" daripada PAS pada 2015.

Namun, dalam masa sama, sajak tersebut turut menyuarakan nada bimbang dengan kemenangan pihak yang disifatkan pendeklamasi sebagai "merosak agama" pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang lalu.

Sajak berjudul Demi Islam itu dideklamasikan oleh Pencetus Ummah (PU) Merico selepas Ketua Pemuda PAS Muhammad Khalil Abdul Hadi selesai menyampaikan ucaptamanya.

“Tahun 2015

Allah menapis darah-darah munafik

ke sana parasit, ke sini parasit

parasit tetap parasit

menggadai agama demi kuasa bernegara.


"PRU 14 melakar sejarahnya

kemenangan yang merosak agama

hilang maruah kita di bumi kita.


"LGBT, Syiah, liberal, mula berleluasa

hanya kerana meninggalkan agama

al-kafirun mengambil takhta kita.


"Syukur pada Yang Esa

kerana membersihkan mereka daripada kita."

Untuk memberikan kesan yang lebih kepada bacaan tersebut, ketika Merico membacakan rangkap tersebut layar di kiri dan kanan pentas memaparkan beberapa gambar pemimpin PH.

Antaranya yang kelihatan menonjol ialah Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu; veteran DAP, Lim Kit Siang, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof; anggota parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; selain aktivis masyarakat dan bekas pengerusi Bersih, S Ambiga.

Tidak ketinggalan juga dipaparkan salinan keratan akhbar mengenai pendirian MCA suatu ketika dulu. Memetik kenyataan presidennya semasa itu, Liow Tiong Lai, MCA berkata MCA tetap bertegas tidak menyokong RUU355.

RUU355 ialah cubaan PAS - melalui presidennya Abdul Hadi Awang - meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 untuk memberikan kuasa lebih besar kepada mahkamah syariah menjatuhkan hukuman.

Parti komponen BN - kecuali Umno - menolak usul yang dibawa Abdul Hadi ke Dewan Rakyat itu kerana menganggapnya sebagai undang-undang hudud. PAS menafikan dakwaan tersebut.

Ajak bersatu padu

Isu berkenaan juga menyumbang kepada perpecahan dalaman PAS sehingga kemudian membawa kepada penubuhan Amanah oleh sekumpulan bekas pemimpin parti itu.

Untuk rekod pengacara majlis mengumumkan wakil dari MCA turut hadir dalam muktamar hari ini bersama wakil pembangkang lain seperti Ketua Pemuda Umno, Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Biarpun tidak menyebut secara langsung, "penapisan darah munafik" yang dimaksudkan Merico dipercayai merujuk kepada bekas anggota PAS yang beramai-ramai keluar parti itu selepas 2015.

Pada PRU-14 lalu pula, PH yang merupakan pakatan antara PKR, DAP, Bersatu dan Amanah julung-julung kali mengalahkan BN. 

Ketika Muktamar Dewan Muslimat PAS pada 15 Jun, Presiden PAS Abdul Hadi berkata tindakan pengundi menumbangkan BN pada PRU lalu adalah langkah silap kerana hanya mengundang mudarat lebih besar pada negara.

Anggota parlimen Marang itu juga menegur pengundi muda yang disifatkannya sebagai tidak mengaji kitab semasa memenangkan PH.

Malah, kata Abdul Hadi, PH didominasi oleh parti yang ekstrem dan semakin berani menyentuh soal Islam dan raja-raja Melayu.

Di akhir sajak tersebut, Merico menyeru umat Islam agar mengikuti al-Quran dan sunah nabi dan bersatu padu:

“Demi Islam

wahai bangsaku

panji Islam di hadapanmu

ayuh bawa ia sampai menara

jadikan al-Quran perisai, sunah nabi pakaian ikutan

sahabat, bersama kita

tinggalkan cabang-cabang furu’, tiada lagi kau-aku.


“Kita menyatu fitrah menjadi satu

demi daulat, ummah berpadu

demi negara baldatun thoyyibatun wa rabbun ghafur.”

Sajak itu kemudian ditamatkan dengan laungan takbir tiga kali yang disambut perwakilan. 


N Faizal Ghazali, M Fakhrull Halim, Alyaa Alhadjri dan Lu Wei Hoong menyumbang kepada laporan ini.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.