Polis lancar siasatan cari pencuri 'Marilyn Monroe'
Polis Los Angeles mengesahkan patung ikonik aktres Marilyn Monroe yang menghiasi ruang popular Hollywood Walk of Fame di sana telah hilang pada Isnin lalu.
Polis melancarkan siasatan bagi bagi mencari patung tersebut, yang memaparkan aksi Marilyn daam filem 1955, The Seven Year Itch.
Patung kecil Marilyn itu terletak di atas puncak gazebo Four Ladies of Hollywood sebagai tanda memperingati wanita pelbagai etnik dalam filem berkenaan.
Empat aktres popular tersebut adalah Mae West, Dorothy Dandridge (Afrika-Amerika), Anna May Wong (Asia-Amerika) and Dolores del Río.
“Kami mempunyai saksi yang melihat seseorang memanjat struktur berkenaan lalu menggergaji patung tersebut, kata anggota Majlis Bandaraya Los Angeles Mitch O'Farrell seperti dilapor Fox News.
Menurut laporan itu lagi, rakaman kamera litar tertutup menunjukkan seseorang turun daripada karya tersebut dan kemudian beredar sambil menggalas sebuah beg.
Bagaimanapun, kata laporan itu, tidak dapat dipastikan barang yang terdapat dalam beg itu dan aksi kecurian juga tidak dirakam.
Hasil siasatan setakat ini mendapati beberapa cap jari ditemukan pada struktur tersebut, yang dibina pada 1994 dan diperbuat daripada perak.
“Kami berjaya memperoleh beberapa cap jari selepas diperiksa pakar kita,” kata pegawai penyiasat LAPD Douglas Oldfield.
Sepanjang kerjayanya, Marilyn atau nama sebenarnya Norma Jeane Mortenson membintangi puluhan filem dan dianggap antara bintang paling ikonik di zamannya.
Dia meninggal pada 4 Ogos 1962 ketika berusia 36 tahun.

