Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Pelawak idam jadi rektor U kemuka sijil palsu
Diterbitkan:  Jun 26, 2019 5:16 PM
Dikemaskini: 9:16 AM

Seorang pelawak yang juga bekas wakil rakyat Indonesia, Nurul Qomar, ditahan polis selepas gagal hadir di balai polis semalam.

Asalnya Nurul Qomar, 59, dipanggil untuk disoal siasat berhubung sijil kelayakan akademik yang digunakannya untuk dicalonkan sebagai rektor sebuah universiti.

Seperti dipetik CNN Indonesia, polis Brebes di Jawa Tengah mengesahkan Nurul Qomar ditangkap malam semalam di rumahnya di Cirebon.

Sehingga malam tadi polis berkata anggota kumpulan Empat Sekawan yang popular dengan siri komedi Lika-Liku Laki-Laki itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Brebes untuk disoal siasat.

Ketua Polis Brebes, Tri Agung, berkata pihaknya sudah berkali-kali mengarahkan Nurul Qomar datang ke balai untuk diambil keterangannya.

Bagaimanapun, katanya, pelawak terbabit ingkar sehingga memaksa polis pergi ke rumahnya. Dia kemudian ditangkap dan dibawa ke ibu pejabat polis setempat.

Media melaporkan, Nurul Qomar disyaki mengemukakan sijil sarjana dan doktor falsafah yang dipalsukan agar dipilih menjadi rektor Universiti Muhadi Setiabudi di Brebes.

Polis mula menjalankan siasatan selepas mendapat maklumat daripada pihak universiti terbabit.

Jika didapati bersalah Nurul Qomar boleh dipenjara sehingga tujuh tahun.

Nurul Qomar pernah memenangi pilihan raya menggunakan tiket Parti Demokrat bagi kawasan Jawa Barat 8. Bagaimanapun ketika ini dia dilaporkan menjadi anggota Parti Nasional Demokrat (Nasdem).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS