Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Kes saman selesai, Aishah boleh pilih berlian RM80,000

Penyanyi Camar Yang Pulang, Aishah, kini boleh memilih barang kemas yang dirasakannya sesuai sebagai ganti hadiah yang sepatutnya bernilai RM80,000 diberikan usahawan kosmetik, Vida, selepas kedua-dua mereka menyelesaikan saman di luar mahkamah kelmarin.

Mendedahkan hal itu hari ini, peguam Aishah, Mohammad Izwan Azmi, berkata Vida juga perlu membuat permohonan maaf dalam satu sidang media khas pada atau sebelum 17 Julai ini.

"Vida perlu menggantikan mana-mana barang kemas dengan harga pameran berjumlah RM80,000 pada atau sebelum 17 Julai.

"Aishah diberi hak sepenuhnya untuk memilih barang kemas berlian asli tersebut dari sebuah kedai emas yang telah dipilih Vida iaitu sebuah kedai emas di Bangsar, Kuala Lumpur," katanya.

Mengenai sidang media khas tersebut, Mohammad Izwan memberitahu Vida akan mengemukakan permohonan maaf secara spesifik semasa ia diadakan.

Mohammad Izwan ditemui pada sidang media bersama Aishah di sebuah restoran di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.

Turut hadir seorang lagi peguam Aishah, Mazniza Mohd Kamil, dari Tetuan Izwan Mazniza Kamil & Associates.

Menurut Mohammad Izwan, persetujuan itu dicapai selepas kedua-dua pihak melalui proses mediasi dan ia direkodkan di depan hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim pada 1 Julai lalu.

Mohammad Izwan berkata, Vida yang juga penyanyi lagu I Am Me itu turut diarah membayar kos sebanyak RM7,500 kepada peguam Aishah pada atau sebelum 7 Julai ini.

"Sekiranya Vida gagal memenuhi kesemua persetujuan tersebut sebelum tarikh yang ditetapkan, pihak kami akan mengambil tindakan undang-undang," katanya.


Baca 'Mari sini saya nak cili mulut tu...'


Aishah sebelum ini mendedahkan hadiah yang dimenanginya dalam program Gegar Vaganza 4 (GV4) tidak seperti yang dijanjikan Vida selaku penaja.

Katanya walaupun diuar-uarkan barang kemas yang menjadi hadiah itu ialah berlian asli, dia mendapat kualitinya tidak sepadan dan selepas membuat semakan, didapati ia adalah kubik zirconia.

Perkara itu diketahui Aishah yang turut popular dengan lagu Janji Manismu itu selepas dia dimaklumkan pemilik kedai sebuah barangan kemas.

Sementara itu mengulas persetujuan tersebut Aishah berkata apa yang dicapai dapat dianggap sebagai kemenangan mengikut apa yang dituntut.

"Saya ingin dibayar mengikut barang kemas, bukan dalam bentuk nilai wang ringgit kerana itu yang saya perjuangkan," katanya.

Namun, kata Aishah, timbul perasaan sedih kerana perkara dilalui itu menunjukkan anak seni sepertinya terpaksa bergelut untuk perkara sebegitu.

"Saya harap kes ini dapat perhatian pihak berkuasa dan yang bertanggungjawab

"Sedih industri muzik tak banyak perlindungan seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan sebagainya.

"Kalau ada timbul sesuatu isu, artis yang malang kerana terpaksa bergelut sendirian," katanya.

Dalam pada itu, Mohammad Izwan juga memberitahu pihaknya sudah mengambil tindakan undang-undang terhadap sebuah lagi syarikat yang menaja hadiah GV4.

Katanya langkah itu dibuat selepas syarikat berkenaan gagal menyerahkan sebidang tanah lot banglo seperti yang dijanjikan kepada Aishah.

Lihat Komen
ADS