Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Koir UiTM bawa pulang 3 pingat emas dari Poland
Diterbitkan:  Jul 3, 2019 8:41 PM
Dikemaskini: 12:41 PM

Pasukan koir Universiti Teknologi Mara (UiTM) merangkul tiga pingat emas dalam kategori yang disertai mereka di Pertandingan dan Festival Koir Antarabangsa Copernicus ke-7 di Torun, Poland.

Menurut Naib Canselor UiTM, Prof Dr Mohd Azraai Kassim, tiga kategori berkenaan ialah kategori Koir Campuran dan Lagu Rakyat atau Budaya yang dsertai UiTM Chamber Choir (UCC), serta kategori Koir Wanita oleh UiTM Women's Chorale (UCS).

“Seluruh warga UiTM amat berbangga dengan pencapaian anak-anak Malaysia di arena antarabangsa tersebut.

“Kejayaan yang amat bersejarah ini merupakan pengiktirafan di pertingkat tertinggi terhadap kualiti bakat dan khazanah seni yang kita miliki,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

UCC juga telah berjaya menerima dua lagi anugerah khas iaitu Special Audience Prize dan Grand Prix of All Volunteers Awards.

Kata Mohd Azraai, Per Musicam ad Astra 7th International Copernicus Choir Festival & Competition yang bermula 29 Jun lalu - dan melabuhkan tirainya hari ini - menyaksikan penyertaan daripada 52 kumpulan koir tetapi hanya 12 kumpulan sahaja yang layak ke pusingan akhir.

“Justeru, saya mewakili seluruh warga UiTM merakamkan sekalung penghargaan kepada warga Malaysia yang tidak putus-putus memberikan sokongan sehingga mereka berjaya memenangi anugerah khas tersebut,” menurutnya lagi.

Selain Malaysia, antara negara yang berentap pada pusingan akhir ialah Poland, Latvia, Lithuania, Taiwan, Filipina, Indonesia dan Afrika Selatan.

UCC mempersembahkan tiga buah lagu sewaktu sesi Konsert Persahabatan dan mempertaruhkan 11 lagu tempatan dan antarabangsa untuk keseluruhan pertandingan tersebut.

Hadiah Khas Penonton (Special Audience Prize) diterima apabila gambar kumpulan tersebut telah berjaya mendapat lebih 7500 likes melalui undian secara atas talian di laman media sosial Facebook.

Anugerah khas Grand Prix of All Volunteers pula adalah berdasarkan hasil undian sukarelawan yang mengendalikan keseluruhan program tersebut.

UCC ditubuhkan pada 2015 oleh Pensyarah Kanan Fakulti Muzik UiTM, Dr Masashi Kishimoto dan banyak mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia melalui pelbagai persembahan dan menjuarai pertandingan dalam dan luar negara.

Antaranya 4th Bali International Choir Festival pada 2015, 30th Praga Cantat 2016 di Prague, 2nd Kalamata International Choir Competition di Greece (2017) dan Musica Eterna Roma International Choir Festival & Competition di Italy (2018).

Kesemua 30 ahli koir yang terdiri daripada pelajar diploma sehingga ke ijazah sarjana serta alumni Fakulti Muzik UiTM itu memulakan latihan intensif sejak akhir tahun 2018 lagi untuk sesi jelajah kali ini.

Kumpulan itu menyertai satu lagi pertandingan koir iaitu Johannes Brahms Choir Festival and Competition di Wieneigrode, Jerman bermula hari ini hingga 7 Julai.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS