Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Biarpun dirinya sudah bergelar janda anak satu pada usia begitu muda, bekas isteri penyanyi Aliff Aziz, Bella Astillah, mengaku kehidupannya kini lebih selesa apabila tidak dibayangi mana-mana lelaki.

Bella - yang juga penyanyi - berkata, dia bukannya serik untuk mendirikan rumah tangga baru, namun buat masa ini ingin memberi fokus dalam kerjaya, selain membahagiakan anak serta kedua orang tuanya.

“Buat masa sekarang masih baru (bercerai) dan memang tak (fikir berdamping dengan sesiapa). Bella mahu beri fokus lebih kepada karier dan keluarga.

"Tak pernah terfikir nak ada kekasih buat masa sekarang.

“Bella selesa dan sudah rasa cukup dengan adanya Ayden, ibu dan ayah,” katanya.

Bella ditemui pada majlis pelancaran muzik video terbarunya, Starlela, di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur malam tadi.

Pun begitu, Bella, 25, tidak menolak seandainya suatu hari nanti ditakdirkan jodohnya dengan Aliff kembali bertaut.

Tak anggap meroyan

"Kalau ada jodoh dengan Aliff kembali, alhamdulillah. Jika tiada, harap kami berdua dapat teruskan kehidupan masing-masing," katanya.

Bella dan Aliff mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016 namun dia memfailkan permohonan cerai pada 21 Mac lalu selepas Aliff didakwa berlaku curang terhadapnya.

Susulan itu, Aliff menceraikan Bella dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur, pada 15 Mei lalu.

Tidak lama selepas itu, penyanyi lagu Selayaknya Aku itu memberi beberapa bayangan seolah-olah ingin merujuk kembali bekas isterinya itu.

Antaranya dia memuat naik memuat naik foto nikah di media sosial bagi mengimbau semula kenangan sewaktu bernikah selain menyatakan sesalannya akibat mengguris hati Bella.

Diminta mengulas dakwaan sesetengah pihak yang menyifatkan Aliff sedang ‘meroyan’ ketika ini, Bella dengan pantas menjawab: “Taklah, saya tak anggap Aliff begitu.”

Bella berkata, Aliff, 28, bertindak demikian kerana sudah terbiasa dengan kehadirannya yang banyak membantu menguruskan perihal rumah tangga.

Justeru, ketiadaannya di sisi amat dirasai Aliff.

“Dia dah terbiasa dengan Bella, sebelum ni semua saya uruskan. Apabila dia cuba untuk lalui kehidupan lain mungkin susah sikit.

“Bella faham dan tak salah kalau bagi dia kata-kata semangat,” katanya.

Lihat Komen
ADS