Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Khayal bawa Stacy jauh dari masalah
Diterbitkan:  Jul 12, 2019 2:05 PM
Dikemaskini: 6:05 AM

Di saat realiti menjadi sukar, penyanyi Stacy mengaku dia suka berkhayal dengan kisah fantasi apatah lagi jika masalah itu membuatnya sukar melelapkan mata di waktu malam.

Ingin berkongsi bagaimana dia cuba melupakan kesukaran yang dilalui selama ini, Stacy muncul dengan single berjudul Khayal.

Menurut Stacy, seseorang itu seboleh-bolehnya cuba lari daripada segala masalah apabila berasa tertekan, marah atau sedih.

“Saya rasa semua orang pun pernah mengalami perkara yang sama.

“Semua orang pun pernah berkhayal atau mencipta kisah fantasi di benak fikiran masing-masing sebagai eskapisme untuk melupakan sebentar realiti sebenar kehidupan,” katanya dalam satu kenyataan.

Khayal ialah lagu bergenre pop EDM dan hasil ciptaannya bersama suaminya Akim Ahmad - dengan nama pena Hang Nadim - dan Ziin.

Liriknya ditulis Stacy sendiri dengan menggunakan nama Bunga Cantik.

Meskipun masih berpaksikan pop dansa, lagu itu tetap membawa kelainan dengan suntikan unsur muzik trap dan melodi EDM synth.

Mengulas kelainan Khayal berbanding lagu berentak rancaknya sebelum ini, Stacy berkata dia membawa perbezaan menerusi vokal dan penghayatan.

“Kali ini, persembahan vokal saya lebih memberikan penekanan kepada feel feminin dan emosi,” katanya.

Kebelakangan ini Stacy sering menggunakan tanda pagar #SampaiKeBulan dalam hantarannya di sosial media.

“Dalam Khayal saya menulis tentang biar cinta sampai ke bulan. Ia menggambarkan betapa besarnya cinta saya kepada keluarga.

“Ia juga menandakan betapa utuhnya ikatan kami sekeluarga yang akan tetap selalu menjalani kehidupan bersama walau susah atau senang,” kata penyanyi dari Sabah itu.

Ini lirik kedua ditulis Stacy selepas lagu hitnya Rampas. Khayal bakal dilancarkan di semua platform muzik digital bermula jam tiga petang hari ini.

Lihat Komen
ADS