R Kelly ditangkap kes jenayah seks, pornografi kanak-kanak
Penyanyi popular R&B, R Kelly ditahan atas pertuduhan pemerdagangan seks dan beberapa dakwaan lain, menurut pegawai undang-undang Amerika Syarikat (AS).
Kelly yang kini berusia 52 tahun ditangkap atas tuduhan 13 jenayah seks di Chicago dan dijangka akan dihadapkan ke mahkamah New York.
Menurut jurucakap Peguam Negara AS, Joseph Ftizpatrick, dakwaan terhadap Kelly termasuk tuduhan berkaitan pornografi kanak-kanak dan menghalang keadilan.
“Pertuduhan termasuk pornografi kanak-kanak, mengumpan kanak-kanak bawah umur dan menghalang keadilan,” katanya dipetik The Guardian.
Penahanan itu merupakan kali kedua buat penyanyi I Believe I Can Fly itu di Chicago dalam tahun ini atas tuduhan seks.
Pada 10 Februari lalu, pemilik nama penuh Robert Kelly itu ditahan atas 10 pertuduhan di Illinois dalam kejadian seksual didakwa berlaku membabitkan empat wanita, tiga daripadanya di bawah umur ketika kejadian berlaku.
Kelly bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan dan dibebaskan dengan ikat jamin.
Pada 30 Mei, pendakwa daerah County menambah 11 lagi pertuduhan berkaitan jenayah seksual termasuk seorang wanita yang mendakwa Kelly melakukan kesalahan itu ketika dia di bawah umur.
Peguam Kelly, Steve Greenberg mengesahkan penahanan tersebut manakala Fitzpatrik berkata tarikh untuk sebutan kes masih belum ditentukan.

