Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Festival teater Negeri Sembilan 22 hingga 27 Julai ini

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Sembilan akan menganjurkan program Festival Teater Negeri Sembilan (FTNS) 2019 di Auditorium Raja Melewar, Kompleks JKKN Negeri Sembilan Seremban pada 22 hingga 27 Julai ini.

Pengarah JKKN Negeri Sembilan Mohd Radzi Omar berkata program FTNS 2019 anjuran JKKN serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya itu berkonsepkan pertandingan yang mana kumpulan berjaya di peringkat negeri bakal bersaing semula dalam pemilihan ke Festival Teater Malaysia 2020 (FTM) di peringkat kebangsaan.

“Objektif utama penganjuran festival itu adalah untuk memberi peluang kepada penggiat dan penggerak teater terutamanya di negeri ini untuk mementaskan karya terpilih masing-masing, selain memberi ruang dan peluang kepada mereka berkongsi ilmu serta membangunkan teater,” katanya kepada Bernama.

Mohd Radzi berkata sebanyak sembilan kumpulan bakal mempertaruhkan naskhah mereka untuk dipentaskan antaranya Kelab Teater Asar Kuala Pilah dengan teater bertajuk ‘Kerbau’, Sekolah Menengah Tuanku Aishah Rohani (‘Tembelang’) dan Kumpulan Pekaryawan (‘Cinta Abadi Suami’).

Kumpulan SIMECTRA dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Negeri Sembilan Kampus Seremban mempersembahkan naskhah ‘Sesudah Subuh’, Kumpulan ATRA dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Nilai (‘Ba’da As-Subhi’) dan Kumpulan LAVARA ANCORA dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panchor (‘Mahkamah’).

“Pada tahun ini dua kumpulan berlainan akan bertanding pada hari sama tetapi waktu berbeza. Majlis penutup dan penyampaian hadiah akan diadakan pada 9 malam 27 Julai nanti,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyaksikan pementasan tersebut secara percuma boleh menghubungi urus setia di talian 06-7636308.

- Bernama

Lihat Komen
ADS