Paling Popular
Terkini

Pelakon dan penerbit filem, Eizlan Yusof, menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung cara mereka menguruskan kes kemalangan di Sabak Bernam, Selangor pada 11 Julai lalu.

Katanya, PDRM wajar membuat siasatan menyeluruh sebelum mengeluarkan kenyataan dengan fakta - yang didakwanya - tidak tepat.

"Kita hormati penguat kuasa undang-undang, tapi apabila mereka mengeluarkan kenyataan salah, ia beri impak pada seluruh pasukan tersebut.

"Kalau fakta tak betul macam mana kita nak percaya pada PDRM selepas ni?" katanya pada sidang media di kompleks Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia di Hulu Kelang, hari ini.

Terdahulu Eizlan mengadakan sidang media untuk menjelaskan mengenai satu kemalangan membabitkan anaknya, Zareef, 9, pada minggu lalu.

Memetik kenyataan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, DSP Lim Chee Khoon, Kosmo! melaporkan kemalangan itu membabitkan kereta Toyota Vios dinaiki dua wanita berusia serta kereta Proton Wira dipandu seorang tukang rumah lelaki.

Dalam laporan berkenaan akhbar tersebut menafikan anak Eizlan ada terbabit dalam kemalangan berkenaan.

Tempoh hingga hujung bulan

Eizlan berkata, ketika kejadian Zareef ditemani pengurus anaknya, Nur Zuriati Mohd Rijaluddin, 23, yang memandu kenderaan terbabit.

"Saya kecewa kerana polis menafikan anak saya terbabit dalam kemalangan.

"Justeru, saya mahu isu itu diperbetulkan supaya ia tidak memberi impak negatif, lebih-lebih lagi ia membabitkan nyawa dan masa depan anak saya.

"Saya tak nak nanti dia dituduh penipu," katanya.

Pelakon filem Pencuri Hati Mr Cinderella meminta PDRM menerangkan perkara sebenar dan menyatakan mereka telah khilaf dalam kenyataan tersebut.

Pada masa sama Eizlan mengakui nama anaknya tidak disebut dalam laporan polis berhubung kejadian berkenaan.

"Tetapi bukankah polis sepatutnya menyiasat perkara itu terlebih dahulu sebelum memberi kenyataan?" katanya.

Eizlan kemudian memberi tempoh sehingga 31 Julai ini untuk polis membuat permohonan maaf dan akan mengambil tindakan mahkamah sekiranya mereka gagal berbuat demikian.

Malaysiakini sudah menghubungi Lim untuk mendapatkan maklum balas berhubung isu berkenaan.

Lihat Komen
ADS