Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Lepas, blah atau chiow - talak Radhi tetap jatuh
Diterbitkan:  Jul 16, 2019 9:08 PM
Dikemaskini: 1:08 PM

Rumah tangga dibina sejak enam tahun lalu di antara penyanyi OAG, Radhi, dan isterinya, Nur Shahira Ayu Zahiri terlerai selepas pasangan itu disahkan bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari hari ini.

Keputusan dibuat Hakim Syarie Husaini Roslin selepas mendapati lafaz diucapkan defendan, Radhi - atau nama sebenarnya Muhammad Radhi Razali - terhadap Nur Shahira Ayu (Ayu) selaku plaintif pada 25 Mac lalu adalah sah dan mengikut syarak.

Husaini juga mensabitkan berlaku perceraian talak satu dan memerintahkan defendan menjalani tempoh idah selama tiga bulan.

Mereka juga perlu mendaftarkan perceraian itu di pejabat agama Islam daerah Petaling sebelum sijil nikah dibatalkan.

“Walaupun Radhi tidak mengingati perkataan yang dinyatakan terhadap isterinya, namun lafaz itu adalah terpakai mengikut syarie.

“Mahkamah meluluskan tuntutan plaintif berdasarkan Seksyen 57 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

“Mahkamah mensabitkan lafaz yang dibuat di luar dan tanpa kebenaran mahkamah pada 25 Mac lalu, jam 4.20 pagi adalah sah dan jatuh talak raj’ie," katanya dipetik BH Online.

Prosiding ditetapkan untuk Radhi, 41, membuat sumpah nafi susulan keterangannya kepada mahkamah bahawa pada tarikh lalu dia tidak mengingati lafaz yang dibuat pada Ayu sewaktu hari kejadian.

Ubah fikiran kemudian

Seseorang perlu melakukan sumpah nafi bagi menafikan apa yang dikatakannya sebelum mahkamah menjatuhkan sesuatu keputusan.

Terdahulu, pada awal prosiding, Radhi masih konsisten dengan keterangannya seperti tarikh lalu atau pindaan ketika disoal mahkamah.

“Saya tidak nafi (melafazkan cerai). Cumanya, saya tidak ingat perkataan yang digunakan adalah cerai, lepas, blah dan chiow.

“Namun, saya akui memang ada cakap perkataan itu ketika itu,” katanya.

Menurut Husaini, meskipun tidak mengingati hanya satu perkataan, Radhi masih perlu melafazkan sumpah nafi tersebut kerana Ayu masih konsisten dengan dakwaannya.

Ayu, 25, berkata Radhi melafazkan: "aku cerai kau dengan talak satu."


Baca Lupakan ketagihan dadah, Radhi mahu ketagih muzik


Bagaimanapun, selepas mendengar penerangan mahkamah, Radhi mengubah fikiran dan akhirnya bersetuju dengan dakwaan yang dikemukakan Ayu.

Permohonan pengesahan lafaz cerai itu difailkan Ayu pada 3 Jun lalu.

Pasangan itu tidak diwakili peguam dan hadir secara berasingan.

Sementara itu, ditemui media di luar mahkamah Radhi berkata, dia akan membuat permohonan rujuk terhadap bekas isterinya itu.

“Allah sudah bagi jalan untuk rujuk, jadi langkah seterusnya adalah untuk memfailkan proses rujuk.

“Pada saya, ini adalah pengajaran buat saya dan ingin rujuk dengan isteri demi kepentingan anak-anak,” katanya.

Namun, Ayu memberitahu dia masih belum memikirkan soal rujuk kerana kerana perlu masa untuk menguruskan dirinya.

Radhi dan Ayu mendirikan rumah tangga pada 14 April 2014. Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua anak, Nur Aisyah, 4, dan Muhammad, 3.

Sebelum ini, Radhi pernah mendirikan rumah tangga dengan Shazlin Sharif pada 1 Januari 2005 sebelum berpisah pada 8 Jun 2010.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Muhammad Rifdi Muslim yang kini berusia 14 tahun.

Lihat Komen
ADS