Seorang pelakon lelaki ditahan malam semalam selepas disyaki membelasah bekas tunangnya yang meminta dia memutuskan hubungan songsang dengan seorang kenalan pada 26 Jun lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Serdang, ACP Ismadi Borhan, pelakon lelaki terbabit dikatakan datang ke rumah bekas tunangnya di Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan, Serdang kira-kira jam 9 pagi kelmarin.

“Bekas tunangnya yang juga pelakon mendakwa dipaksa masuk ke kereta sebelum suspek terus memaki wanita berkenaan menggunakan kata-kata kesat.

“Difahamkan pergaduhan itu berpunca daripada tindakan wanita berkenaan yang meminta suspek untuk tidak meneruskan hubungan songsang dengan kenalannya,” katanya dipetik Harian Metro.

Menurutnya lagi, berang dengan permintaaan wanita itu, suspek bertindak mencekik leher, menumbuk muka, mencengkam mata serta menumbuk mulut mangsa hingga berdarah.

Menurutnya, gambar dirakam wanita terbabit dipadam suspek secara senyap-senyap selain mangsa turut diugut.

“Mangsa dirujuk ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut, namun tiada kesan kecederaan kerana kejadian itu sudah lama berlaku,” katanya.

Ismadi berkata, polis menahan suspek selepas datang menyerah diri di ibu Pejabat Polis Daedah Serdang, untuk diambil keterangan.

“Hasil soal siasat dilakukan, suspek mengaku memukul mangsa. Bagaimanapun, suspek kemudian dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangannya diambil.

“Siasatan lanjut berhubung kes ini sedang dijalankan mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan sengaja dan melakukan ugutan,” katanya.