Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan

Pelakon Zahiril Adzim berharap anak muda yang meminati permainan video mula menceburinya sebagai kerjaya melalui bidang e-sukan.

Katanya, penyertaan anak muda di dalam bidang itu perlu digalakkan memandangkan ia sudah diangkat ke peringkat antarabangsa.

“Saya cuba tunjuk dekat orang ramai yang bermain game ini bukan untuk buang masa malah boleh jadi atlet dan mewakili negara Malaysia.

“Saya juga sudah berjumpa dengan ramai atlet yang bermain permainan video dan jana pendapatan serta kerjaya melalui ini,” katanya yang juga kini membina nama dalam persada itu.

Zahiril juga menjelaskan anak muda yang kerap bermain permainan video perlu pandai membahagikan masa di antara waktu pembelajaran dan penglibatan dalam e-sukan.

“Anak muda ini kena pergi sekolah belajar cara nak jana pendapatan dan bukan main game secara kosong macam itu sahaja.

“Nak jana pendapatan melalui e-sukan ini kena ada ilmu dan kalau boleh habiskan sekolah dulu dan yang penting pandai bahagi masa,” katanya.

Pelakon Zahiril Adzim juga mengakui kini e-sukan menjadi keutamaan pilihannya dalam menjana pendapatan berbanding dunia seni.

“Saya mula bermain permainan video sejak zaman kanak-kanak, tetapi sudah berhenti 10 tahun lebih sebab nak fokus berlakon.

“Pada awalnya, saya memuat turun aplikasi permainan video PlayerUnknown’s Battlegrounds (PUBG) di telefon dan kemudiannya, di komputer. Alhamdulillah, kini dapat jana pendapatan,” katanya.

Zahiril ditemui pada majlis pratonton filem Kron di sebuah kompleks beli-belah, Mutiara Damansara, Petaling Jaya baru-baru ini.

Pemilik nama penuh Mohd Zahiril Adzim Mohd Mokhtar itu turut berkata, terdapat ramai anak muda yang mampu bermain dengan hebat namun tidak diberikan peluang yang besar.

“Ramai sebenarnya yang berbakat dalam permainan video ini. Ada yang sampai boleh mewakili negara Malaysia hanya dengan bermain game.

"Tetapi mungkin ramai tidak nampak kebolehan mereka (pemain e-sukan). Jadi, saya harap, apabila orang tahu saya aktif, saya dapat bantu promosikan komuniti ini,” katanya yang lebih dikenali sebagai Bobby San dalam dunia permainan video.

Sementara itu Zahiril berkata, matlamatnya dalam e-sukan adalah untuk menyediakan tempat permainan video dan menyumbang kepada mereka yang aktif.

“Kalau boleh, saya nak buka sebuah ‘gaming house’ atau tempat permainan video khas untuk anak-anak muda bermain permainan video.

“Pada masa sama, mereka juga dapat menjana pendapatan daripada sekadar bermain tanpa apa-apa faedah,” katanya.

Menurut Zahiril, dia membelanjakan kira-kira RM20,000 untuk pemasangan komputer serta peralatan permainan video tersebut.

“Bagi memasang alatan yang perlu sahaja, saya berhabis sekitar RM20,000 semata-mata untuk permainan game tersebut.

“Isteri saya ada bertanya mengenai permainan video itu dan saya jelaskan kepadanya bahawa ramai orang sudah jadikan ia sebagai kerjaya,” katanya.

Lihat Komen
ADS