Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Neelofa, Michael Ang rayu bantu pekerja Utusan
Diterbitkan:  Aug 20, 2019 2:21 PM
Dikemaskini: 8:10 AM

Terkesan dengan musibah yang menimpa kakitangan Utusan Malaysia, selebriti popular Neelofa menawarkan bantuan untuk meringankan beban yang ditanggung mereka.

Neelofa berkata, dia terpanggil untuk membantu pekerja Utusan Malaysia kerana mengenangkan jasa akhbar itu yang banyak membantu perkembangan kerjayanya selama bergelar artis.

Justeru, Neelofa atau nama penuhnya Noor Neelofa Mohd Noor berkata ingin membalas jasa Utusan Malaysia.

"Kecewa mendengar situasi menimpa Utusan Malaysia. Mereka banyak membantu karier Lofa dari awal.

"Kalau anda kenal sesiapa dari bahagian sumber manusia atau syarikat yang ingin menawarkan peluang pekerjaan sila berikan maklumat di bawah," ciapnya di Twitter.

Kata Neelofa, dia berharap apa yang dilakukannya itu dapat membantu pekerja syarikat tersebut mendapat pekerjaan baru secepat mungkin.

"Saya pasti ramai yang tengah cari kerja baru. Jangan risau, ini terbuka untuk semua. Sesiapa yang nak memohon cari maklumat di sini," katanya lagi.

Sementara itu, pengarah Michael Ang merayu agar masyarakat dapat membantu pekerja Utusan Malaysia menerusi sumbangan kepada Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Utusan Malaysia.

Dia juga berkongsi nombor akaun CIMB NUJ MALAYSIA (80-0082256-0) di hantaran Instagram itu.

"Salam semua. Saya dah melalukan tanggungjawab saya. Saya berharap satu Malaysia boleh membantu mereka tak banyak pun jadilah.

"Lakukannya sebagai rakyat Malaysia dengan rendah hati saya merayu bantulah walau sedikit," katanya lagi.

Semalam, kira-kira 100 kakitangan dan bekas kakitangan Utusan hari ini berpiket menuntut gaji mereka yang didakwa tidak dibayar selama tiga bulan.

Kesatuan Wartawan Kebangsaan pula mendedahkan syarikat berkenaan bakal ditutup kerana tidak mampu membayar gaji pekerja.

Sejumlah pekerja Utusan Melayu (M) Berhad diberitahu dua akhbar itu akan berhenti dicetak sehingga ke satu tarikh yang tidak didedahkan.

Bagaimanapun, menurut sumber-sumber, pekerja Utusan juga dimaklumkan bahawa edisi atas talian Utusan dan Kosmo! akan diteruskan.

Lihat Komen
ADS