Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Mark berdoa ibu ikut jejak langkah peluk Islam
Diterbitkan:  Sep 3, 2019 4:17 PM
Dikemaskini: 8:17 AM

Meskipun tidak sesekali akan memaksa, penyanyi Mark Adam tetap berdoa dan mengimpikan agar ibunya, Florenda Macaraig Echivarre terbuka hati memeluk Islam suatu hari nanti.

Mark berkata, ibunya, 60, sering bertanyakan mengenai Islam kerana tertarik dengan tingkah laku positif dipamerkannya selepas dia menukar agama.

“Ibu amat menyukai sikap saya sekarang dan dia beritahu banyak perubahan positif dilihatnya selepas memeluk Islam.

“Saya tidak akan memaksa ibu menukar agama tetapi jika dia memeluk Islam, saya manusia pertama yang gembira dan bersyukur," katanya dipetik Harian Metro.

Atas sebab itulah, Mark atau nama Islamnya, Mark Adam Fikri Abdullah sering bercerita perihal keindahan Islam.

“Apabila saya memeluk Islam pada 2003, saya menikmati ketenangan dan perubahan. Antara yang dipelajari adalah menghormati orang dan agama lain.

“Saya percaya Islam agama yang benar dan berdoa ibu mengikuti jejak langkah saya," katanya.

 

Menurut Mark, 39, Islam banyak mengajarnya persediaan khususnya kehidupan selepas kematian.

Dia juga bersyukur kerana isterinya, Nor Azah Redzuan dan bapa mentua banyak membantu mendalami Islam.

"Setakat ini saya sudah mempelajari solat termasuk berpuasa penuh (ketika Ramadan) sejak beberapa tahun lalu," katanya.

Bagaimanapun, Mark berkata, ketika ini dia masih berusaha mempelajari dan memantapkan bacaan al-Quran.

“Selain keluarga, rakan selebriti seperti Shuib (Sepahtu) turut membantu dalam agama dan saya ketika ini mementingkan solat berjemaah,” katanya.

Pada masa sama, Mark berkata, adalah penting baginya untuk lebih mengenali Rasulullah S.A.W kerana sebelum ini dia hanya banyak mendengar pesuruh Allah itu.

“Impian saya adalah untuk terus kekal dan mendalami agama ini secara menyeluruh," katanya.

Terdahulu, Mark menghadiahkan ibunya sebuah rumah yang diimpikan sejak 1996. Mark berkongsi berita gembira itu dengan memuat naik rakaman klip video melalui Instagram miliknya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS