Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Ramai pihak yang bersetuju terhadap pemilihan Prof Siti Zainon Ismail sebagai Sasterawan Negara ke-14 selepas melihat sumbangan dan pencapaian beliau dalam bidang sastera.

Menteri Pendidikan Maszlee Malik berkata, sumbangan dan merit Siti Zainon tidak boleh dinafikan kerana perkara ini sendiri diakui oleh penggiat-penggiat sastera yang lain.

"Kita dapati bahawa Sasterawan Negara 2019 (iaitu) Siti Zainon memang layak dan ini diakui oleh penulis-penulis sastera dan ramai lagi.

"Sumbangan beliau terhadap sastera begitu baik. Saya rasa sumbangan Siti Zainon tidak boleh dinafikan," katanya.

Maszlee berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Garis Panduan Pelaksanaan Dasar Inklusif Orang Kurang Upaya (OKU) di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Gombak, hari ini.

Terdahulu, beliau diminta mengulas mengenai rasa tidak puas hati penulis Dr Malim Ghozali PK berhubung pelantikan Siti Zainon selain mendakwa terdapat penyelewengan dalam pemilihan berkenaan.

Mengulas lanjut, Maszlee berkata, ramai yang mengenali Siti Zainon dan pengiktirafan tersebut seharusnya diberikan lebih awal.

"Ramai aktivis yang mengatakan sepatutnya beliau dapat (anugerah) lama lagi.

"Bagi sesiapa yang mengenali beliau bukan sekadar seorang sasterawan (tetapi) juga budayawan dan juga pelukis terkenal yang menyumbangkan jasa kepada negara," katanya.

Selasa lalu, Maszlee mengumumkan Siti Zainon dianugerahkan Sasterawan Negara ke-14.

Pengumuman itu dibuat ketika peminat sastera negara tertunggu-tunggu siapakah bakal penerima anugerah paling berprestij dalam bidang kesusasteraan negara.

Sebelum itu terdapat khabar angin mengenai anugerah itu, termasuk dakwaan campur tangan politik dalam pemilihan sasterawan.

Selepas pengumuman itu dibuat, Malim - atau nama asalnya Mohamed Ghazali Abdul Rashid - menyifatkan pemilihan Sasterawan Negara itu sebagai "samun di siang hari".

Beliau yang berasakan dirinya lebih layak menerima anugerah berkenaan dan turut mendakwa pemilihan Siti Zainon dicampuri unsur politik, selain mempertikaikan kehadiran dua tokoh tambahan dalam panel penilai sebagai tidak mempunyai kepakaran.

Lihat Komen
ADS