Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Sasterawan perlu diberi pengiktirafan dan penghargaan sewajarnya jika diundang mendeklamasikan karya mereka, kata Sasterawan Negara ke-14, Prof Dr Siti Zainon Ismail.

Siti Zainon, 69, berkata penganjur majlis perlu bersikap adil dari segi pemberian imbuhan untuk persembahan seumpama itu sebagaimana yang dinikmati golongan artis hiburan.

Beliau menegaskan mencipta atau menghasilkan sesuatu karya seperti puisi dan menyampaikannya di khalayak umum bukanlah kerja mudah.

“Ini kerana sasterawan diberi tugas itu perlu membuat penyelidikan untuk menghasilkan puisi misalnya, yang bertepatan dengan majlis dan berlatih menyampaikannya dengan penuh penghayatan,” katanya selepas menjadi tetamu program temu bual Ruang Bicara di Bernama News Channel malam tadi.

Siti Zainon diumum sebagai penerima Anugerah Sastera Negara ke-14 yang membawa gelaran Sasterawan Negara ke-14 oleh Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik pada Selasa lepas.

Siti Zainon, 69, anak kelahiran Gombak, Selangor, telah menulis 25 kumpulan puisi, kumpulan cerpen (10), antologi cerpen (tujuh), antologi puisi (lima) dan novel (tiga).

Beliau turut menghasilkan 18 buku kajian ilmiah, 21 esei kajian dalam buku (bab) dan 21 esei dalam monograf, jurnal, dokumentasi dan majalah-katalog.

Majlis pengurniaan Anugerah Sastera Negara ke-14 dijangka disempurnakan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 21 Sept di ibu negara.

- Bernama

Lihat Komen
ADS