Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Novel The Weight of Our Sky karya penulis tempatan Hanna Alkaf terpilih untuk diadaptasi dalam bentuk komik dan diterbitkan di Webtoon, sebuah laman komik digital bagi hujung September ini.

Jelas Hanna, dia berasa teruja apabila mendapat tahu bahawa karyanya sendiri terpilih untuk diterbitkan di Webtoon.

“Saya rasa sangat berbesar hati yang karya saya The Weight of Our Sky antara yang terpilih.

“Memang tak pernah terfikir pun yang saya akan dapat peluang macam ni,” katanya kepada Malaysiakini.

Webtoon merupakan platform komik digital diasaskan di Korea Selatan pada 2004 dan dilancarkan di AS pada 2014.

The Weight of Our Sky berkisar rusuhan kaum 13 Mei 1969 yang menjadi titik hitam dalam sejarah negara Malaysia. Novel itu mengupas mesej persefahaman dalam sesebuah masyarakat perlbagai kaum.

Terdahulu Hanna turut berkongsi berita gembira itu di Instagram.

“Ya tuhan, benda ni betul-betul berlaku dekat aku!

The Weight of Our Sky (Di Situ langit Dijunjung) telah terpilih masuk Webtoon!" katanya.

Jelas Hanna, tempoh untuk karya itu disiapkan mengambil masa tiga bulan bermula Disember 2016 hingga Februari 2017.

“Ia diterbitkan oleh Simon & Schuster di Amerika Syarikat pada bulan Februari 2019.

“Episod-episod pertama Webtoon The Weight of Our Sky akan mula disiarkan hujung bulan September ni,” jelasnya.

Hanna turut memaklumkan bahawa selepas ini dia bercadang untuk mengeluarkan novel kanak-kanak bertajuk The Girl & The Ghost dan akan diterbitkan oleh HarperCollins di Amerika Syarikat pada Ogos tahun depan.

Lihat Komen
ADS