Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Penyanyi terkenal 90-an ditahan di JB
Diterbitkan:  Sep 9, 2019 1:06 PM
Dikemaskini: 6:34 AM

Seorang bekas vokalis kumpulan rock popular ditahan kerana memiliki bahan dipercayai dadah semasa dia menunggang motosikal di kawasan rumah kedai di Taman Perling, Johor Bahru semalam.

Suspek yang menyertai sebuah kumpulan terkenal di negara ini pada era 1990-an ditahan bersama seorang rakannya kira-kira jam 11.30 malam.

Mereka ditahan polis apabila dilihat dalam keadaan mencurigakan di tempat kejadian.

Menurut laporan The Star Online, selepas penyanyi itu diperiksa polis menemui bahan berupa serbuk putih dipercayai syabu seberat kira-kira 0.42g yang disimpan dalam dompetnya.

Kedua-dua suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Johor Bahru Utara untuk pemeriksaan lanjut.

Hasil saringan air kencing, lapor portal itu, polis mendapati kedua-dua mereka positif mengambil dadah.

Untuk rekod sebelum ini penyanyi berusia 41 tahun itu mempunyai rekod jenayah.

Penangkapan itu dipercayai akan memberi kesan kepada rancangan kumpulan muzik yang disertai suspek mengadakan konsert yang menyatukan semua anggota mereka hujung bulan ini di Shah Alam sebelum ke Singapura bulan depan.

Sumber polis memberitahu kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.

Lihat Komen
ADS