Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Boleh cabar diri sendiri sambil tonton Warning Do Not Play

ULASAN FILEM | Jika melihat filem seram, biasanya kita pasti akan dibayangi dengan kedegilan karakter utama yang gigih cuba merungkai perkara misteri pada ketika kita juga sedar hantu akan menjengah pada bila-bila masa.

Di sebalik lazimnya kaedah itu, kisah Warning Do Not Play pun begitulah. Pencipta kisah itu masih terus menggunakan pendekatan sama melalui kedegilan Mi Jung sebagai paksi utama penceritaan filem tersebut.

Maka dari situlah bermula segala misteri dan kesungguhan Mi Jung - watak yang dimainkan oleh Seo Ye Ji - seorang pelajar bidang perfileman yang ingin mendapatkan maklumat bagi merealisasikan matlamatnya menyiapkan senaskhah filem seram yang tertunda sejak 10 tahun lalu.

Apa yang membezakan cerita Warning Do Not Play daripada filem hantu lain adalah elemen jump scare yang boleh membuat penonton berasa terkejut dan tidak senang duduk.

Jump scare adalah teknik kemunculan gambar secara tiba-tiba dengan iringan suara keras untuk mengejutkan. Biasanya teknik itu terdapat pada filem bergenre seram yang penuh dengan konflik.

Keunikan teknik itu ialah, ia bermain dengan sifat manusia yang mudah latah apabila terkejut. 

Bagaimanapun, rata-rata pengkritik filem menyifatkan jump scare sebagai salah satu cara paling rengsa dilakukan bagi menarik minat penonton filem seram.

Ia juga telah dinyatakan sebagai teknik paling klise yang sering dilakukan dari mana-mana filem seram.

Antara babak jump scare yang sering kita lihat adalah suasana di dalam rumah yang dengan tiba-tiba lampu semua ditutup dan dalam beberapa saat kemudian kejadian aneh akan menyinggah diiringi dengan muzik yang kuat.

Bagi Warning Do Not Play pula, memang benar ada teknik tersebut namun pendekatannya berbeza berbanding babak dalam filem lain.

Hal itu dipaparkan seperti babak Mi Jung memasuki sebuah pawagam usang dan menemui beberapa kejadian pelik seperti adegan seseorang membunuh diri yang ditayang meluas pada skrin, dan kemudian hantu tersebut mengejutkannya.

Tidak dilupakan, keberanian Mi Jung yang mempunyai sifat ingin tahu terlalu kuat sehingga sanggup merentasi pelbagai cabaran bagi menemui sejarah filem hantu yang dikatakan paling seram itu.

Filem dari Korea Selatan itu adalah hasil karya Kim Jin Won yang sudah mula menjengah layar lebar di Malaysia sejak 5 Sept lalu.

Bagi penulis, penamat filem ini agak mengelirukan kerana ia turut memaparkan konflik masa silam Mi Jung yang hampir membunuh diri kerana asyik dibuli.

Ia membuatkan penulis sukar menghadam apakah hubung kait kesan Mi Jung sebagai mangsa buli dengan jalan cerita utama Warning Do Not Play.

Namun bagi sesiapa yang meminati filem bergenre seram dan penuh konflik, filem ini boleh menjadi salah satu cabaran untuk anda sama-sama menyelesaikan misteri itu yang dipersembahkan.

Lihat Komen
ADS