Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
‘Aksi ranjang dan seksi dalam filem dah berlalu’

Mohamad Sabu memuji sebuah filem baru yang bertemakan sukan bola sepak Suatu ketika, langitkan impianmu karya Prakash Murugiah.

Selepas hadir tayangan hari pertama di sebuah pusat beli belah di Kuala Lumpur malam tadi, menteri pertahanan berkata beliau langsung tidak terlelap, walaupun “satu saat”.

“Saya kalau tengok wayang selalunya tidur tapi malam ini (semalam), satu saat pun tak tidur sebab nak tahu apa berlaku seterusnya,” katanya dalam sidang media selepas tayangan filem itu.

Prakash, 37, turut hadir dalam sidang media itu.

Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata filem tersebut mempunyai plot cerita yang menarik, penuh emosi serta mempunyai elemen semangat perpaduan antara masyarakat.

“Bagi masyarakat kita, bila sebut saja filem mesti kena ada adegan ranjang dan seksi. Dan itu semua sudah berlalu,” katanya.

Mohamad yang juga presiden Amanah, beliau berharap filem tempatan seperti itu lebih banyak dihasilkan pada masa akan datang.

“Saya lihat filem ini setanding dengan negara Iran yang menang banyak award di peringkat antarabangsa.

“Saya harap filem seperti ini dapat dihasilkan lebih banyak pada masa akan datang,” katanya lagi.

Filem selama 1 jam 33 minit itu antaranya dibintangi oleh Pekin Ibrahim, Nam Ron. Lagu temanya bertajuk Ayuhlah dinyanyikan oleh penyanyi terkenal Zainalabidin.

Suatu ketika, langitkan impianmu mengisahkah penubuhan sebuah pasukan bola sepak kanak-kanak kampung pada tahun 1950 untuk melawan pasukan bola sepak British.

Prakash pernah menerbit dan mengarah filem drama berdasarkan cerita sebenar bertajuk Bibah pada 2013 ini yang berkisarkan semangat patriotisme dan perpaduan antara masyarakat.

Lihat Komen
ADS