Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan

Penyanyi Hazama teruja apabila dapat berkolaborasi untuk merakamkan single terbaru berjudul Anak Bangsa Malaysia bersama pemimpin nombor satu negara, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Hazama memberitahu Malaysiakini dia amat berbangga menerima tawaran merakamkan lagu tersebut khusus untuk rakyat Malaysia malah bergandingan bersama Dr Mahathir menjadi pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

"Saya teruja, bertuah, bersyukur sebab Tun Mahathir merupakan idola semua orang. Saya amat berbangga menerima tawaran menyanyikan lagu khusus untuk rakyat Malaysia.

"Ini saya punya pengalaman yang tak dapat saya lupakan," kata penyanyi yang pernah merakamkan semula lagu Saya Anak Malaysia bersama Usop, pada 2018.

Dr Mahathir membuat penampilan istimewa membaca puisi pada bahagian akhir lagu Anak Bangsa Malaysia ini.

Penyanyi dengan nama sebenar Hazama Ahmad Azmi pula berharap lagu ini dapat menjadi ikhtiarnya memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang majmuk dan pelbagai budaya.

"Kita rakyat Malaysia berbilang kaum. Saya nak kita semua bersatu. Kita tak payah bergaduh pasal orang Melayu, Cina, India. Asalkan nama Malaysia kita bersatu hati.

"Saya harap masyarakat menerima dengan hati yang terbuka. Minta selalu mainkan di radio dan televisyen,’’ katanya.

Hadiah buat PM selamatkan Malaysia

Penyanyi lagu Aku Yang Sebenar itu juga menegaskan niatnya ikhlas untuk terlibat dalam projek ini.

"Saya bukan mengampu sesiapa. Kerja saya penyanyi. Saya ditawarkan untuk buat kerja saya.

"Saya dapat rezeki takkan kita nak tolak. Dalam lirik pun tidak menyatakan mana-mana parti, ia umum pasal rakyat Malaysia.

"Terima kasih kepada komposer, Amin Iskandar, dia memberi saya peluang dan tanggungjawab ini sebab percaya kepada bakat saya untuk menyanyikan lagu ini," katanya.

Lagu dan lirik Anak Bangsa Malaysia nyanyian Hazama ini ciptaan komposer Amin Iskandar yang juga kolumnis Malaysiakini.

Sementara itu, Amin pula menjelaskan penghasilan lagu tersebut merupakan inisiatifnya sendiri dan tidak ada kena-mengena dengan pihak lain.

"Atas inisiatif sendiri. Tidak ada kena-mengena dengan kerajaan atau jabatan. Tapi kalau dia (kerajaan) nak pakai kita tak halanglah.

"Saya ajak Tun Mahathir kira saya nak bagi hadiah sebab Tun sudah menyelamatkan Malaysia tahun lepas. Harapan lagu ini dapat didiklah orang ramai," katanya.

Amin (gambar) berkata, hasratnya supaya Dr Mahathir membuat penampilan khas dalam lagu itu kerana liriknya bercerita mengenai konsep bangsa Malaysia, suatu yang dekat dengan Wawasan 2020 ilham perdana menteri.

Lagu nyanyian Hazama ini menyeru perpaduan di sebalik masyarakat "yang semakin terpisah" dan tanpa mengira "warna kulit dan kepercayaan" mengajak berpayung di bawah satu bendera "anak bangsa Malaysia."

Bagaimanapun, Amin juga mengambil maklum orang yang ingin didekatinya itu seorang pembesar negara yang belum tentu sudi untuk terlibat dengan projek sebegini.

"Mengejutkan apabila Tun Mahathir bersetuju, tetapi masalahnya untuk mencari waktu rakaman.

"Mujurlah suara dan video sempat dirakam oleh pegawai-pegawai di Pejabat Perdana Menteri," katanya yang kini berkhidmat sebagai setiausaha akhbar kepada Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

Ini merupakan kali pertama Dr Mahathir terlibat dalam penghasilan sebuah lagu komersil.

Sebelum ini, perdana menteri pernah terlibat dalam rakaman lagu bercorak kenegaraan seperti Setia dan lagu parti pimpinan beliau, Bersatu.

Sempena sambutan Hari Malaysia 16 September esok, laman media sosial Dr Mahathir malam ini membuat hantaran tayangan sulung klip video lagu nyanyian Hazama itu.

 

Lihat Komen
ADS