Isteri pelakon Sharnaaz Ahmad, Noor Nabila Mohd Noor memfailkan interim hadanah (hak jagaan sementara) terhadap anak mereka, Jebat Jayden di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur.

Peguam syarie Noor Nabila, Azmi Mohd Rais memaklumkan perkara berkenaan selepas sebutan kali pertama permohonan interim itu hari ini.

Azmi berkata, anak guamnya memfailkan interim hadanah pada 13 September lalu bagi menentukan hak lawatan yang boleh dilakukan Sharnaaz terhadap Jebat, yang berusia setahun.

“Permohonan Noor Nabila dibuat mengikut Seksyen 201 Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan.

“Sharnaaz melalui peguam syarie, Akberdin Abdul Kader sudah menerima dokumen dan sepatutnya memfailkan afidavit balasan pada tarikh sebutan berikutnya,” katanya dipetik Harian Metro.

Azmi berkata, pihaknya akan memasukkan afidavit balasan selepas menerima afidavit daripada Sharnaaz.

Mahkamah menetapkan 30 September ini untuk sebutan semula permohonan itu.

Noor Nabila, 34, hadir prosiding memakai jubah dan tudung hitam sambil ditemani keluarganya, manakala Sharnaaz tidak hadir dan cuma diwakili peguam Akberdin.

Kakak kepada pengacara popular, Noor Neelofa itu merungkai spekulasi media berhubung hal rumah tangganya dengan memfailkan perceraian terhadap Sharnaaz di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada 11 September lalu.

Namun, permohonan cerai itu ditolak Sharnaaz dan mahkamah kemudian mengarahkan kedua-dua pihak melantik Jawatankuasa Pendamai dalam kes perceraian berkenaan.