Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Wann aminkan harapan peminat mahu dia bertudung betul-betul

Meskipun kelibatnya jarang muncul di kaca televisyen, penyanyi bersuara serak-serak basah, Wann, mengakui masih aktif memenuhi undangan persembahan sama ada di Singapura atau Malaysia.

Dan buat peminat yang tidak tahu perkembangan terbarunya, penyanyi popular era 1990-an itu meminta agar mereka tidak terkejut dengan perubahan imej yang ditampilkan.

Kata Wann, setiap kali muncul di khalayak, dia seboleh-bolehnya akan menutup kepalanya dengan selendang.

"Kalau saya tak tutup hati tak tenang dan langsung tak selesa," katanya.

Wann atau nama sebenarnya Wan Rashidah Meor Abdul Rashid itu ditemui pada majlis pengumuman pertandingan Gegar Vaganza musim keenam (GV6) di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur semalam.

Untuk rekod, Wann yang dilahirkan di Kuala Kangsar sudah 25 tahun menetap di Singapura.

Tiga kali tiada kata putus

Mengulas lanjut, Wann berkata, meskipun cara pemakaian kain yang menutup kepala itu masih belum sempurna, dia berharap agar peminat tidak cepat melatah.

"Empat tahun saya tampil begini tapi saya masih mencuba untuk tampil dengan imej lebih baik suatu hari nanti.

"Usia saya juga semakin hampir 50 pada tahun depan. Doakan saya," katanya.

Penyanyi Aku Dalam Teka-Teki itu juga mengakui, memang ada ramai peminat memintanya melakukan perubahan agar tampil lebih kelihatan sebagai Muslimah.

"Itu saya anggap sebagai cabaran yang perlu ditempuhi. Peminat bagitahu saya akan lebih cantik dan manis kalau tutup kepala betul-betul.

"Saya aminkan apa mereka cakap," katanya.

Sementara itu, mengulas penyertaannya dalam GV6, Wann yang turut popular dengan Bossanova itu berkata, dia pernah didatangi pihak penganjur, Astro, sebanyak tiga kali namun gagal memberikan kata putus untuk menyertai pertandingan berkenaan sebelum ini.

Katanya, dia masih belum bersedia sepenuhnya pada waktu itu.

"Saya takut bila nak menyanyikan lagu orang lain. Sampai sekarang pun kalau nak menyanyi masih berderau bila naik pentas.

"Nak-nak pula kalau diberi tugasan nyanyi genre hip hop," katanya.

Menurut Wann, jika ditakdirkan dia memenangi GV6, harapannya yang pertama ialah untuk merakam sebuah lagu come back bagi mengubat rindu peminat.

"Kalau ada rezeki teringin masuk studio rakam lagu baru," katanya.

Lihat Komen
ADS