Aktivis budaya: Tarik larangan mak yung bagus, tapi...
Tarian mak yung warga Kelantan lebih daripada sekadar seni yang boleh dipersembahkan dengan sekatan, kata penyelidik sosio-budaya Eddin Khoo.
Khoo, pengasas Pusaka, sebuah NGO yang berusaha memelihara seni budaya Melayu, bagaimanapun mengalu-alukan langkah kerajaan negeri Kelantan untuk menarik semula larangan mempersembahkan mak yung yang telah dikenakan selama 28 tahun di negeri itu.
"Saya akan mengiktiraf jasa kerajaan negeri Kelantan atas kesediaan mereka untuk mengangkat larangan tersebut.
"Bagaimanapun, hanya menarik semula larangan tersebut tidak menangani pelbagai isu yang berkaitan dengan mak yung," kata Khoo kepada Malaysiakini ketika dihubungi.
"Masih terdapat banyak sekatan yang dikenakan ke atas persembahan mak yung.
"Mak yung lebih daripada sekadar bentuk seni, ia juga mengenai budaya dan tradisi orang Kelantan," katanya.

News Straits Times hari ini memetik Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar Nik Abdullah sebagai berkata bahawa mereka yang ingin membuat persembahan mak yung kini boleh berbuat demikian dengan syarat mematuhi keperluan syariah termasuk mewajibkan menutupi aurat mereka.
Penganjur juga perlu memastikan bahawa lelaki dan wanita tidak bercampur-campur baik di atas panggung atau di kalangan penonton.
"Elemen pemujaan juga tidak boleh ada dalam persembahan.
"Garis panduan serupa juga dikenakan untuk wayang kulit dan pertunjukan seni tradisional Melayu lainnya.
"Kami mahu memastikan hanya persembahan yang berkaitan dengan Islam ditunjukkan kepada penonton," kata Mohd Amar selepas mesyuarat exco negeri di Kota Bharu.
Sementara itu, Khoo berkata mengenakan sekatan ke atas persembahan mak yung akan menjadikannya "tidak bermakna" dan tidak mempunyai substans di luar pergerakan.
Menggambarkan mak yung sebagai warisan yang diturunkan melalui generasi ke generasi, Khoo mempersoalkan sama ada kerajaan Kelantan telah berunding dengan pewaris pengamal mak yung sebelum membuat garis panduan.
"Pada tahap tertentu, mak yung telah diiktiraf sebagai satu bentuk terapi psikologi.
"Pada dasarnya, mak yung adalah lebih daripada sekadar bentuk seni," kata Khoo yang menyatakan bahawa ia tidak sepatutnya dikawal ketat berdasarkan apa yang dianggap betul atau salah di bawah undang-undang negeri.
Ahad lalu, Astro Awani melaporkan bahawa persembahan mak yung telah diadakan di khalayak umum di Auditorium Kesenian dan Warisan Kelantan buat kali pertama sejak ia diharamkan pada tahun 1991.
Kisah Raja Besar Ho Gading bagaimanapun, "diubahsuai" untuk mengecualikan pemain wanita dan dialognya diteliti oleh kerajaan negeri dan Jabatan Mufti Kelantan terlebih dahulu pada bulan Mei.

