Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Tentera AS beri amaran tembakan rambang pada tayangan Joker
Diterbitkan:  Sep 27, 2019 9:01 AM
Dikemaskini: 1:01 AM

Tentera AS memberi amaran kemungkinan berlaku insiden tembakan rambang oleh golongan ekstrimis atau 'incel' semasa tayangan filem Joker yang akan datang, menurut satu laporan.

'Incel' merupakan singkatan daripada “Involuntarily Celibate” iaitu golongan lelaki yang berasa marah kerana tidak dapat menarik perhatian wanita untuk melakukan seks.

Golongan ini berasa kecewa sehingga mengalami kemurungan, benci pada diri sendiri, merasakan diri mereka tidak sempurna dan menyalahkan perempuan yang menyebabkan mereka menjadi sengsara.

Gizmodo melaporkan menerusi e-mel pada 18 Sept dengan tanda “Untuk Kegunaan Rasmi Sahaja”, bahawa penonton yang merancang untuk menonton filem berkenaan dinasihatkan untuk mengenal pasti dua laluan iaitu “melarikan diri” dan “berlari, bersembunyi, lawan” sekiranya berlaku tembakan.

“Lari jika boleh,” jelas mesej itu. “Jika anda terjebak terperangkap, bersembunyi (cari tempat berlindung) dan kekal bertenang’). Jika penembak terjumpa anda, lawan dengan apa sahaja cara,” kata e-mel itu seperti dipetik.

Pada Selasa lalu, tentera AS mengesahkan telah mengeluarkan amaran tersebut. Pihak tentera melalui amarannya menjelaskan golongan 'incel' mengidolakan watak Joker sebagai seorang yang hidup bersendirian dan bertindak ganas akibat penolakan yang berterusan.

“Mereka juga digambarkan sebagai seorang lelaki yang berpura-pura bahagia tetapi sebenarnya berjuang untuk melawan pembuli.

“Kami mahu anggota kami bersedia dan peka terhadap keselamatan sama ada di tempat kerja dan di luar,” kata jurucakap tentera itu.

Pada Isnin lalu, pegawai tertinggi Bahagian Siasatan Jenayah Tentera berkata mereka menerima maklumat yang dipercayai dari penguatkuasa undang-undang di Texas mengenai gangguan terhadap panggung wayang yang disasarkan semasa tayangan itu.

Joker yang diterajui oleh Joaquin Phoenix bakal ditayangkan di pawagam pada 4 Okt ini dan telah mencetuskan kebimbangan orang ramai susulan khabar angin yang mengatakan keganasan akan berlaku.

Pada 2012, berlaku tembakan secara rambang semasa penonton sedang menonton tayangan filem The Dark Knight Rises menyebabkan 12 orang terbunuh dan 58 orang cedera.

Kejadian itu berlaku di pawagam Century 16, Aurora, Colorado, justeru, sejak daripada tragedi itu dinamakan Amuk Tembakan Aurora 2012.

Penembak, James Holmes ketika itu bersolek dan mewarnakan rambut seperti watak Joker.

Lihat Komen
ADS