Kurang dari seminggu selepas menggelar Dian Sastrowardoyo sebagai "bodoh" seorang menteri kabinet Joko Widodo mengumumkan berundur dari kerajaan.

Yasonna Laoly yang juga menteri undang-undang dan hak asasi manusia menyatakan hasratnya itu melalui notis bertarikh hari ini.

Bagaimanapun pengunduran Yasonna, 66, tidak ada kaitan dengan pertelingkahannya dengan pelakon Ada Apa Dengan Cinta itu, sebaliknya disebabkan dia memenangi pilihan raya umum baru-baru ini.

Kemenangan itu membolehkan Yasonna kekal menjadi anggota parlimen Indonesia.

Dalam surat peletakan jawatannya, Yasonna berkata, dia mengambil keputusan tersebut mengikut peraturan sedia ada yang melarang seseorang menteri menjawat sebarang tugas lain pada masa yang sama.

"Saya memohon maaf apabila selama menjabat sebagai menteri terdapat banyak kekurangan dan kelemahan," katanya.

Terdahulu Yasonna menganggap Dian, 37, sebagai orang yang kurang berpengetahuan apabila aktres jelita terbabit menyatakan sokongan terhadap pengkritik kerajaan berhubung cadangan meminda undang-undang jenayah negara itu bersabit amalan menggugurkan kandungan bagi mangsa rogol.

Digelar bodoh, Dian malah tidak berdiam diri sebaliknya bingkas menjawab.

Misalnya menggunakan media sosial dia yang terkenal dengan watak Cinta itu menulis: "Kerana lebih baik kita merasa bodoh dan terus belajar daripada sudah merasa tahu semuanya."

Pada hantaran lain pemilik ijazah sarjana falsafah dari Universiti Indonesia itu menulis: "You can call me anything you want but we shall not silenced." (Kamu boleh memanggil saya apa saja yang kamu mahu tetapi kami tidak akan dapat didiamkan).

Hantaran Dian itu segera menarik sokongan daripada orang ramai. Malah sebahagian daripada mereka mempersenda atau mengecam menteri terbabit.

 

Misalnya Reina Latief Wardhana yang mempertahankan Dian sebagai salah seorang warga Indonesia yang paling kritis menguruskan sesuatu maklumat.

"Tidak ada sejarahnya dia akan bicara terutama secara publik kalau dia tidak punya informasi untuk mendukung omongannya," tulis Reina Latief.

Arifaldi Dasril pula menulis: "Perbuatan membuli sudah jauh ketinggalan zaman tetapi seorang menteri undang-undang dan hak asasi manusia melakukannya ke atas hak bersuara seseorang, nah, itu sesuatu yang baru."

Tokoh budayawan Sudjiwo Tedjo pula menggelar Dian sebagai "Puteri Reformasi" dan "dian yang tak kunjung padam."