Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Finas digesa laksana reformasi, wujud 'ruang selamat' tayangan filem

Pengarah Freedom Film Festival (FFF) Anna Har menggesa Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) untuk melaksanakan reformasi demi mewujudkan "ruang selamat" bagi tayangan filem.

"Hakikatnya kita dalam tekanan ketika ingin menayangkan filem ini," kata Anna ketika sesi soal jawab filem The Tree Remembers yang melihat semula asal-usul perkauman di Malaysia dan tabu berhubung perbincangan tragedi 13 Mei 1969.

The Tree Remembers adalah filem terbaru Lau Kek Huat, pengarah filem kelahiran Sitiawan, Perak, yang kini bergiat di Taiwan. Dokumentarinya sebelum ini, Absent Without Leave, masih dilarang daripada tayangan di Malaysia.

Bermula pada 2003, FFF ialah acara tahunan untuk pengarah filem mempersembahkan karya mereka dan membangkitkan pelbagai isu kepada orang awam.

Edisi tahun ini menyaksikan kali pertama lembaga pengarah Finas hadir secara rasmi.

Seorang hadirin turut menanyakan soalan kepada Pengerusi Finas Hans Isaac, berkenaan sama ada The Tree Remembers akan ditayangkan di tempat selain festival itu.

Hans berkata pihaknya cuba mencari peluang untuk semua jenis filem ditayangkan.

"Ia proses yang sedang kami lalui dan semua orang menggesa agar kami melakukannya. Kami hanya meminta rakyat Malaysia untuk bersabar, kami baru saja membersihkan masalah terdahulu.

"Usaha kami adalah memasikan semua orang dapat menyampaikan cerita yang mereka mahukan. Anda ada hak untuk mempersembahkan cerita anda," katanya.

Menjawab kenyataan itu, Har menjelaskan kesukaran menganjurkan festival dan menggesa Finas mengusahakan perubahan dalam undang-undang negara berkenaan filem.

"Saya hanya mahu mengingatkan sukar untuk menayangkan filem ini untuk kali kedua. Lebih teruk jika di luar KL. Di KL, kami ada peguam yang bersedia.

"Saya gembira lembaga pengarah (Finas) ada di sini... Saya benar-benar berharap Finas akan menyokong kami, bukan dari segi kewangan, tetapi untuk mewujudkan ruang selamat untuk menayangkan filem dan membincangkan isu di Malaysia," kata Har.

Finas merupakan agensi kerajaan di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia yang diwujudkan dengan matlamat membangunkan industri perfileman engara.

Pengerusi dan lembaga pengarah yang baru dilantik menterinya, Gobind Singh Deo pada April 2019. Anna Har juga dilantik ke dalam lembaga penasihat Finas.

Pada masa sama Lembaga Penapisan Filem (LPF) pula di bawah tanggungjawab Kementerian Dalam Negeri.

Mengikut Seksyen 6(1), tiada pihak yang boleh "ada dalam milikannya atau dalam jagaannya atau di bawah kawalannya; atau menyebarkan, menayangkan, mengedarkan, mempamerkan, membuat, mengeluar, menjual atau menyewakan, apa-apa filem atau bahan publisiti filem yang belum diluluskan oleh lembaga".

Lihat Komen
ADS