Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

ULASAN | Motif, sebuah filem yang membawakan tema misteri dan pembunuhan menyuntik kelainan kepada penonton memandangkan genre tersebut boleh dikatakan bukan pilihan nombor satu untuk diketengahkan pengarah tempatan di layar perak.

Filem sulung arahan Nadiah Hamzah itu - yang telah pun menjengah pawagam sejak 26 September lalu - bermain teka-teki dengan penonton sejak awal penceritaan dan ia satu teka-teki yang sukar.

Saya merasakan pengarah berjaya menyembunyikan motif pembunuh dengan berkesan. Sesuai dengan tajuknya, filem ini menampilkan sejumlah watak yang mempunyai motif masing-masing.

Ia berkenaan kisah seorang inspektor polis bernama Dewi (lakonan Sharifah Amani) yang ditugaskan untuk menyiasat kehilangan seorang remaja perempuan, Anna (lakonan Khayrani Kemal).

Kehilangan Anna menjadi tanda tanya sehinggalah mayatnya ditemui di dalam lubang belakang rumah bapanya, Hussein (lakonan Rosyam Nor).

Justeru individu terdekat dengan Anna, termasuk Hussein pastinya, menjadi suspek utama kes tersebut.

Bergandingan Inspektor Rizal (lakonan Taqim Zaki), Dewi ditugaskan mencari pembunuh Anna. Namun dia mengharungi pelbagai cabaran dan bantahan daripada masyarakat sekeliling lantaran dirinya seorang wanita, justeru dianggap tidak mampu menyelesaikan kes itu.

Pada masa sama, Dewi memiliki masalahnya sendiri. Sebagai isteri kedua, dia cuba meraih perhatian suaminya. Apa yang menariknya, penonton tidak akan melihat suami Dewi dan konflik antara mereka disampaikan melalui perbualan telefon sahaja.

Antara kekuatan filem ini ialah lakonannya yang mantap. Memang nama seperti Sharifah Amani, Rosyam Nor dan Azhan Rani dikenali dengan karisma dan kelas mereka yang tersendiri.

Selain itu, cerita berkenaan dunia pelacuran, konflik rumah tangga dan poligami memang wujud dalam masyarakat mereka. Motif menunjukkan bagaimana seorang Muslim berdepan dengan perkara ini.

Visual yang dipaparkan juga kelihatan menarik dengan penataan yang suram membangkitkan lagi unsur misteri dalam filem ini.

Bagaimanapun dalam 40 minit pertama, jalan cerita bergerak perlahan membuatkan saya tidak senang duduk untuk mengetahui kesudahan ceritanya. Jika ia disengajakan, ternyata pengarah berani bermain dengan api kerana bukan semua penonton sukakannya.

Walaupun Motif berjaya membawakan rasa saspens kepada penonton, babak berkenaan isu sosial seperti yang disebut di atas sedikit menenggelamkan cerita utama - pembongkaran identiti pembunuh Anna.

Dewi kurang berinteraksi dengan penduduk tempatan dalam menjalankan siasatan. Ada masanya wataknya sebagai isteri kedua lebih menyerlah apabila dia disibukkan dengan hal-hal rumah tangga.

Sebagai polis yang seharusnya kuat dan berdikari, saya secara peribadi ingin melihat Dewi mempamerkan kekutannya apabila berdepan dengan seorang lelaki seperti Rizal.

Selain itu terdapat pengulangan aksi dan dialog yang dilontarkan Rizal berhubung rasa tidak yakinnya terhadap tindak-tanduk Dewi juga mengundang rasa bosan.

Selain itu klimaks dan penyelesaian juga kelihatan tergesa-gesa, seolah-olah pengarah tidak sabar mahu menghabiskannya.

Bagaimanapun Nadiah dan semua krew wajar diberi pujian atas keberanian mengangkat cerita misteri dan pembunuhan ini. Sebagai filem yang mengangkat tema ini, Motif boleh berdiri sendiri.

Kelemahan yang ada pula dapat ditutup oleh kemantapan persembahan barisan pelakon yang ada.

Diharap Nadiah akan lebih bersemangat dan memperbaiki kelemahan yang ada dalam karya-karya akan datang.


FADHLI SULAIMAN ialah wartawan pelatih Malaysiakini.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS