Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Yazit pemain dram terhebat pernah kami miliki - Hillary Ang
Diterbitkan:  Sep 29, 2019 8:38 PM
Dikemaskini: 12:38 PM

Pemergian bekas pemain dram kumpulan rock legenda Search, Yazit Ahmad memberikan kesan mendalam kepada ramai orang terutama ahli keluarga dan sahabat terdekat Allahyarham.

Bagi gitaris terkenal, Hillary Ang, tidak ada perkataan dapat menggambarkan kepiluan hatinya menerima khabar pemergian Yazit akibat penyakit dialami Khamis lalu.

"Orang tanya saya apa yang saya rasa tentang pemergian Yazit. Pada masa ni, ia sesuatu yang kami semua masih cuba untuk terima.

"Saya baru saja kehilangan kawan lama dan kami menjadi rakan sekumpulan juga dalam masa yang lama. Jadi tidak ada perkataan untuk menggambarkan kesedihan dan kepiluan," kata Hillary.

Menerusi status Facebooknya Hillary mengimbas semula kenangan bagaimana dia mula membentuk Search bersama seorang lagi pengasas yang juga vokalis asal band itu, Zainal Rampa.

"Ketika saya mula-mula melihat Yazit bermain, saya tahu dia adalah drummer yang saya inginkan dalam Search. Tak ada ragu-ragu.

"Amy menyertai kami berdua untuk persembahan pertamanya di Red Rooster KL, dan selebihnya adalah sejarah.

"Kami melalui jerih payah bersama-sama. Ada banyak kenangan manis dan pahit. Masa yang baik dan masa yang buruk. Kejayaan dan kemunduran.

"Segala-galanya tetap terpahat bersama saya," katanya.

Hillary meninggalkan Search pada 1988 apabila dia melanjutkan pelajaran dalam bidang muzik ke luar negara dan kemudian menyertai kumpulan Cromok sekembalinya ke tanah air.

Khamis lalu, Yazit menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas mengalami kecederaan otak akibat kekurangan oksigen dalam tubuh.

Menurut Hillary, Yazit merupakan pemain dram hebat pernah dia kenali selain mempunyai sentuhan unik dan tersendiri yang berbeza daripada pemuzik lain.

"Malah pada tahun-tahun ketika kesihatannya mula merosot, dia masih memiliki sentuhan indah itu. Dia tetap bertenaga, dan terus lakukan apa yang dia sayang, bermain drum," kata Hillary.

Tambahnya, Yazit juga memberikan inspirasi kepada ramai pemain dram tanpa mengira usia serta berjaya meninggalkan legasi dalam dunia muzik tanah air.

"Yazit adalah pemain dram yang sangat istimewa, dan merupakan satu penghormatan buat saya untuk bermain bersamanya selama bertahun-tahun.

"Saya akan merindui Yazit, pemain dram rock and roll terhebat pernah kami miliki.

"Saya akan merindui Yazit, kawan dan sahabat seperjuangan. Bersemadilah dengan tenang, sahabatku," kata Hillary.

Lihat Komen
ADS