Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Mazleela tak mengeluh jadi peserta pertama tersingkir GV6

Walaupun perjalannya di pentas Gegar Vaganza musim enam (GV6) hanya setakat pada minggu, Mazleela berkata dia tidak kecewa.

Mazleela malah mengingatkan dirinya untuk tidak mengeluh dengan penyingkirannya kerana GV6 sedikit-sebanyak memberi peluang untuk memperkenalkan semula namanya di industri muzik tempatan.

“Saya redha. Ini pun saya dah rasa bersyukur pada Allah kerana diberikan peluang kerana orang yang tak kenal siapa Mazleela sebelum ni, mereka dah mula kenal.

“Terima kasih pada semua, pada rakan artis teruskan berjuangan…saya berdoa tak kira siapa pun buatlah yang terbaik sampai pusingan akhir,” katanya kepada Malaysiakini selepas sidang media di dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), malam tadi.

Ketika konsert minggu kedua semalam Mazleela menyanyikan Apa Khabarmu Di Sana, lagu dendangan asal Ramlah Ram.

Salah seorang juri Hetty Koes Endang menyifatkan persembahan vokal penyanyi yang berasal dari Johor itu sebagai mendatar.

“Kalau saya lihat dari awal sampai akhir, kita menyanyi jangan berat, nyanyi secara santai sahaja.

“Jangan terlalu berat sehingga kawalan tona suara kamu susah, banyak mendatar, banyakkan latihan lagi,” katanya.

Bertemakan Cari Makan, konsert semalam menyaksikan Naqiu Boboy dinobatkan sebagai juara minggu kedua, diikuti penyanyi Singapura Hady Mirza di tempat kedua dan Sham Visa di tempat ketiga.

Bagi hadiah Artis Cili Padi Paling Power pula diberikan kepada Hady Mirza atas persembahannya yang menarik.

Sebelum ini, Mazleela dilaporkan berdepan masalah injap jantung lemah sejak tiga tahun lalu, yang menyebabkannya ada kala semput dan sukar bernafas.

Mazleela bagaimanapun berkata dia enggan mengaitkan masalah itu dengan penyingkirannya semalam.

Ditanya mengenai perancangan selepas GV6, Mazleela berkata dia masih tiada apa-apa rancangan berkenaan perjalanan seninya, namun tidak menafikan mungkin akan mengeluarkan karya terbaru pada masa akan datang.

“InshaAllah kalau ada rezeki yang mendatang, saya akan cuba. Saya akan usaha," katanya lagi.

Kini tinggal sebelas penyanyi yang akan terus berentap di pentas GV6, iaitu Jatt, Kool, Wann, Hady Mirza, Feeza, Roy, Naqiu, Sham, Noorshila Amin, Nurfatima dan One Nation Emcees.

Juara GV6 bakal membawa pulang wang tunai bernilai RM100,000 beserta trofi. Pemenang tempat kedua akan mendapat wang tunai RM50,000 manakala pemenang tempat ketiga RM30,000.

Lihat Komen
ADS