Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Deepavali: Thanuja rindu saat mesra bersama rakan Melayu di sekolah

Pelakon dan model terkenal Thanuja Ananthan, 34, mengakui rindu saat-saat manis bersama rakannya pada zaman persekolahan dahulu.

Pelakon Anak Merdeka itu berkata dia teringat ketika bersekolah, dia berpeluang beramah-mesra malah dapat merasai pengalaman untuk makan sepinggan bersama rakan-rakannya meskipun berlainan kaum.

“Saya ingat lagi masa sekolah saya boleh duduk dengan kawan-kawan Cina, Melayu, kami boleh duduk ketawa.

“Saya paling rindu itu. Boleh makan satu pinggan sama-sama, saya rasa hubungan persahabatan berbeza kaum sudah berkurangan di negara ni,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Kata Thanuja, disebabkan menjalin persahabatan dengan rakan Melayu sewaktu di bangku sekolah, dia juga berpeluang mendalami dan boleh membaca beberapa surah Al Quran.

“Kawan-kawan saya ajar saya ayat-ayat Al Quran tau. Saya boleh baca Surah Taha,” katanya yang berharap supaya masyarakat lebih bertoleransi antara satu sama lain..

Ditanya mengenai sambutan perayaan Deepavali pada tahun ini, dia berkata tidak ada perbezaan seperti mana sambutan pada tahun-tahun sebelumnya.

Katanya Deepavali adalah saat untuk meluangkan masa bersama keluarga dan kawan-kawan.

“Istimewanya tentang Deepavali adalah bila awak duduk dengan keluarga dan kawan-kawan, semua orang gembira menyambut hari yang dinamakan sebagai Pesta Cahaya.

"Itu adalah masa untuk bergembira. Hanya nikmati makanan dan bersyukur kepada sesiapa sahaja yang pernah datang dalam hidup kita,” kata pelakon Temuan Takdir itu.

Teruja menyambut perayaan itu tahun ini, Thanuja gembira kerana kawan-kawannya tanpa mengira latar belakang dan bangsa akan datang ke rumahnya bagi meraikan perayaan tersebut sambil menikmati hidangan istimewa.

“Kawan-kawan saya suka dengan ayam varuval, sambal udang, kari ayam dan mutton. Semua nak makan benda tu lah.

“Memang penatlah, kita mula masak dalam pukul empat pagi,” katanya namun menjelaskan usaha itu amat berbaloi.

Lihat Komen
ADS