Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Lepas tersingkir dari GV6, Ameer mahu tumpu pada Sofarz

Selepas tersingkir dari Gegar Vaganza musim enam (GV6), vokalis Sofarz, Ameer berazam untuk memberi sepenuh perhatian kepada kumpulannya.

Katanya, ini walaupun anggota lain dalam Sofarz tidak kisah dia menyanyi solo.

“Apabila menyanyi lagu Sofarz tanpa ahli Sofarz, saya rasa benda tu tak adillah. Jika ada penganjur nak panggil, biarlah kami datang sebagai Sofarz.

“Itu yang saya tetapkan pada diri saya sendiri walaupun hakikatnya anggota lain sebenarnya tak kisah sekiranya saya nyanyi secara solo,” katanya selepas sidang media GV6 di dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), malam semalam.

Pada minggu ketiga GV6 ini setiap peserta diberi tugas mempersembahkan lagu Yang Aneh Aneh menyaksikan Ameer yang menyampaikan lagu Samrah Mentari berada di kedudukan tercorot sekaligus menyebabkannya tersingkir.

Juri profesional Ramli MS berkata, punca penyingkiran itu disebabkan penyanyi tersebut gagal mempamerkan persembahan yang baik.

Ramli berkata, hampir 90 peratus tala muzik (tune music) dan vokal Ameer atau nama asal Amir Mahiyiddin tidak selari semasa menyanyikan lagu nyanyian asal Jamal Abdillah itu.

Konsert itu turut menyaksikan Naqiu Boboy sekali lagi diumumkan sebagai peserta pertama yang layak ke minggu keempat. Berada di tempat kedua, penyanyi Jatt yang dilihat naik kembali selepas tersenarai antara tiga tercorot pada minggu lalu, manakala Wann di tempat ketiga.

Selain Ameer, Sofazr turut dianggotai Rodie Jamun (keyboard), Ahmad Fairouz Mohammad (bass), Wan Shah Baharom Niktah (dram) dan Wan Shahbaharin Niktah (gitaris utama).

Mengulas perancangannya bersama Sofarz, jelas Ameer, mereka kini sedang giat membuat persediaan untuk menerbitkan single.

“Kami jangka keluarkan single tu tahun depan. Buat masa ni kami tengah kumpul material yang sesuai untuk diketengahkan kepada peminat,” katanya.

Ameer turut menegaskan komitmennya terhadap Sofarz berbanding menyanyi secara solo.

“Sekiranya ada tawaran lain, saya akan nyanyi lagu Sofarz, perkara tu buat saya rasa tak adil. Lainlah kalau nyanyi lagu sendiri.

“Rezeki di tangan Allah. Tak semestinya rezeki hanya di situ saja. Mungkin ada di tempat lain.

“Tapi jujurnya, kita nak naik sebagai Sofarz bukan senang, kita dah lalui macam-macam,” katanya.

Lihat Komen
ADS