Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Zurinah Hassan dilantik sasterawan universiti, profesor adjung

Sasterawan wanita pertama negara, Datuk Dr Zurinah Hassan dipilih sebagai Sasterawan di Universiti Malaysia Perlis dan dilantik Profesor Adjung universiti berkenaan.

Watikah pengurniaan itu disampaikan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, selaku Tuanku Canselor UniMAP pada satu Program Sasterawan di Universiti bersempena majlis pengurniaan itu di sini, hari ini.

Naib Canselor UniMAP Prof Dr R. Badlishah Ahmad berkata program penempatan Sasterawan di Universiti adalah cetusan idea Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik yang mahu penglibatan Sasterawan Negara di semua universiti awam.

Beliau berkata penglibatan Sasterawan Negara di universiti menyemarakkan nilai kesusasteraan setiap warga universiti tanpa mengira latar belakang ke tahap tertinggi, selain mengiktiraf penglibatan Sasterawan Negara sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan negara.

Zurinah, 70, merupakan seorang penyair dan tokoh yang begitu aktif menghasilkan pelbagai karya terkenal seperti Di Sini Tiada Perhentian, 1977 (Puisi), Hatimu Aishah, 1991 (Novel) dan Mestika Pantun (2018).

Karya beliau pernah diterjemah ke dalam beberapa bahasa, seperti karya ‘Menghadap ke Pelabuhan’ yang diterbitkan dalam Bahasa Inggeris, Sepanyol, Rusia, Jepun dan Perancis.

Zurinah, yang dilahirkan di Alor Setar, Kedah, ialah tokoh Sasterawan Negara ke-13.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS