Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Eyka sedia berdepan kritikan jika suara tak memuaskan

Membuka lembaran baru dalam karier sebagai penghibur, pelakon, pengacara dan kini penyanyi, Eyka Farhana, bersedia sekiranya kualiti suaranya di khalayak umum dikritik kerana tidak memuaskan.

Kata Eyka, sebagai seorang yang baru berjinak-jinak dalam dunia seni suara, dia akan cuba menerima secara terbuka setiap teguran diberikan dan menganggap ia proses memperbaiki kelemahan diri.

“Ini pertama kali Eyka ceburkan diri dalam bidang nyanyian. Dalam dunia lakonan kalau salah kita boleh lakukan penggambaran semula, tapi kalau nyanyi secara langsung, tak boleh.

“Justeru, Eyka akan terima teguran atau pandangan negatif sekiranya ada yang kurang gemar dengan persembahan diberikan,” katanya.

Eyka, 24, ditemui pada majlis Jom Kita Lepak bagi memperkenalkan single terbaru keluaran dan edaran Life Records di sebuah kompleks beli-belah di Petaling Jaya semalam.

Pada majlis berkenaan, Eyka memperdengarkan suaranya buat pertama kali depan umum melalui single sulungnya, Laki-Laki. Lagu itu hasil ciptaan komposer Omar K dan lirik oleh Ikhwan Fatanna.

Bukan peminat drama Korea

Lagu berkenaan juga diangkat sebagai runut bunyi drama rantaian 13 episod, Dia Adelia, yang bakal ditayangkan di saluran TV Digital RTM tidak lama lagi.

Mengulas persediaan vokalnya supaya lebih mantap, pemilik nama penuh Wan Atiqa Farhana Wan Sarmizi itu berkata, dia merancang untuk mendapatkan khidmat seorang guru nyanyian pada bila-bila masa.

“Banyak yang kena perbaiki, antaranya cara menyanyi depan umum. Maaf kalau buat salah (pada persembahan hari ini),” katanya.

Memahami sesetengah penyanyi sememangnya dilahirkan dengan bakat semula jadi, Eyka bagaimanapun berlapang dada sekiranya kemajuannya dalam bidang nyanyian - selepas mengikuti kelas vokal - tidak seperti diharapkan.

“Jika belajar tapi tak sampai tahap bagus juga, saya akan anggap saya tak ada rezeki dalam bidang nyanyian.

“Saya suka menyanyi, tapi kalau tak boleh tak apa, saya akan teruskan kerjaya dalam bidang lakonan dan pengacaraan,” katanya.

Sementara itu, ditanya genre kegemaran yang menjadi pilihan untuk didendangkan, Eyka menjawab: “Saya suka semua, kecuali K-pop sebab saya bukan peminat drama Korea.”

Lihat Komen
ADS