Fely Stacy Paimin, remaja berasal dari Ranau, menjuarai Pertandingan Akhir Bintang Remaja Negeri Sabah 2019 anjuran Seksyen Hiburan dan Muzik, Jabatan Penyiaran Sabah, malam tadi.

Lagu ‘Aku Permata’ membawa tuah kepada Fely Stacy, 13, apabila peserta paling muda dalam pertandingan akhir itu dipilih menjadi johan, sekali gus menewaskan tujuh peserta lain.

Fely Stacy membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 bersama piala dan sijil yang disampaikan oleh Pengarah Penyiaran Sabah Malinaziah Datu Mohd Julaspi di Pentas Terbuka KDCA, Penampang, dekat Kota Kinabalu.

Naib juara diraih Farhana Naslyn Suhailin, 14, yang mendendangkan lagu ‘Semakin’ dan peserta dari Keningau ini turut memenangi kategori persembahan terbaik, seterusnya membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 dan RM1,500 bersama piala serta sijil.

Tempat ketiga pula menjadi milik Steffera Stella George, 19, dari Kota Marudu yang menyanyikan lagu ‘I’ll Never Love Again’ seterusnya membawa hadiah wang tunai RM2,000 bersama piala dan sijil.

Program dianjurkan sejak 2007 itu bertujuan mencungkil bakat nyanyian dalam kalangan remaja pelbagai kaum di Sabah yang berumur antara 13 hingga 22 tahun.

- Bernama