Seni & Hiburan Malaysiakini

Captain America tak rela James Dean hidup semula

Hiburan  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Cadangan sebuah produksi Hollywood untuk ‘menghidupkan’ semula aktor legenda, James Dean, menggunakan teknik imej janaan komputer (CGI) tidak mendapat sambutan baik daripada beberapa bintang filem.

Antaranya pelakon yang membawa watak Captain America dalam filem Avengers, Chris Evans.

Dengan nada sinikal Evans menciap berhubung perkara itu melalui akaun Twitter miliknya.

“Saya pasti dia (Dean) akan teruja (sambil mengiringi ayat itu dengan emoji berwatak menjengkelkan).

“Ini teruk. Mungkin kita boleh gunakan komputer untuk membantu kita lukisan baru Picasso atau mencipta lagu baru John Lennon.

"Kurang pemahaman dalam situasi ni amat memalukan,” ciapnya.

Pelakon utama filem Lord Of The Rings, Elijah Wood, pula berkata: “Tidak. Tak sepatutnya.”

Sebelum ini Magic City Films berkata, mereka berjaya mendapat kebenaran daripada pemegang hak cipta Dean untuk menghasilkan - secara digital - imej pelakon filem Trouble Along The Way itu bagi membintangi filem era Perang Vietnam, Finding Jack.

Aktor yang turut popular melalui filem Rebel Without A Cause itu maut dalam nahas kereta pada 3 Dise 1955. Dia baru berusia 24 tahun.

Sementara itu, pengarah Finding Jack, Anton Ernst, berkata dia akan memastikan legasi Dean berada dalam keadaan baik.

“Kami amat berbangga keluarga Dean memberikan sokongan. Mereka menganggap ini ialah karya keempat Dean yang tak sempat dilakonkanya.

“Justeru, kami tak berhasrat untuk hampakan peminat-peminatnya,” katanya dipetik BBC.