Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Pelakon Azhar Amir meluahkan hasratnya ingin bertemu Dr Mahathir Mohamad bagi ‘meminta restu’ perdana menteri itu sebelum dia menjayakan watak dalam filem Mahathir: The Journey.

Menurut Azhar, dalam pertemuan itu nanti, dia ingin bersalaman dengan Dr Mahathir yang juga perdana menteri tertua di dunia ketika ini.

“Saya nak beritahu pada Dr Mahathir, saya akan lakonkan watak dirinya. Saya harap beliau boleh bagi restu.

"Saya mahu berjumpa walau hanya untuk bersalaman. Sekurang-kurangnya, jika boleh dapat angguk tanda setuju daripada beliau pun saya sudah berpuas hati.

"Nak lakonkan watak legenda hidup seperti Dr Mahathir, takkan tak minta restu,” katanya.

Namun, memahami jadual tugas seorang pemimpin kerajaan biasanya memang padat, Azhar, 47, berkata dia akan berpuas hati asalkan pertemuan itu dapat diadakan walau singkat.

“Kita tak boleh minta banyak masa dari seseorang yang begitu hebat seperti Dr Mahathir. Dapat rasai kehadirannya cukup untuk buat bulu roma saya meremang,” katanya lagi, ketika ditemui pada majlis pengumuman filem Mahathir: The Journey di sebuah hotel di Petaling Jaya semalam.

Bakal diterbitkan Reliance Media Group dan diarahkan Profesor Dr Hatta Azad Khan, naskhah biografi itu memaparkan perjalanan hidup Mahathir selama 16 tahun, bermula persaraannya selepas berkhidmat selama 22 tahun sebagai perdana menteri hingga kembali memimpin negara sekali lagi pada 2018.

Selain Azhar, pelakon yang turut menjayakan Mahathir: The Journey ialah Fauziah Latiff sebagai Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, Afique Hussain (Mukhriz Mahathir), Hilal Azman (Anwar Ibrahim), Dian P Ramlee (Dr Wan Azizah Wan Ismail), Lisdawati (Nurul Izzah) dan Qazim Nor sebagai Sofi.

Filem berkenaan dijadual memulakan sesi penggambaran pada Disember ini di empat lokasi iaitu Langkawi, Putrajaya, Alor Setar dan Hiroshima, Jepun. Ia dijangka menjengah pawagam pada Julai 2020, bersempena ulang tahun kelahiran Mahathir.

Kata Azhar lagi, diberi kepercayaan untuk membawakan watak tokoh sebesar Mahathir menimbulkan perasaan gementar dalam dirinya.

"Secara jujur saya katakan, saya menggigil bila dapat watak ni. Waktu saya hadir uji bakat, ramai pelakon lain yang hebat dan terkenal.

“Saya turut cadangkan nama kawan-kawan lain yang pernah bawa watak Dr Mahathir dalam teater. Tapi, insyaAllah, saya akan cuba lakukan yang terbaik.

“Saya juga faham sekiranya ada tanda soal besar apabila nama Azhar Amin diumumkan untuk bawa watak Dr Mahathir,” katanya lagi.

Untuk rekod, Azhar pernah berlakon dalam produksi luar negara seperti Hong Kong untuk filem Operation Mekong dan produksi Indonesia, My Stupid Boss.

Lihat Komen
ADS