Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Enggan Kristal jatuh, Kecik buat keputusan undur diri

Enggan menjadi punca kejatuhan Kristal, vokalisnya, Kecik mengambil keputusan untuk mengundur diri daripada kumpulan rock itu selepas baru genap setahun menganggotainya.

Menurut Kecik atau nama sebenarnya Mohammad Fauzi Kamarudin, dia sudah tidak mampu menggalas tanggungjawabnya sebagai vokalis.

Dia berkata masih mencari haluan sendiri dan sudah "tiada jiwa" untuk mempersembahkan lagu bergenre rock.

“Saya nak beritahu yang saya sudah keluar secara rasmi daripada kumpulan Kristal dan bergerak secara solo semula.

“Saya tak nak Kristal jatuh merudum disebabkan saya. Mungkin saya masih lagi mencari cari jiwa saya.

“Saya bukanlah seorang penyanyi rock. Saya potong rambut pun bukan disebabkan nak tunjuk tanda putus asa. Cuma saya nak bagitau jiwa saya dah tak ada kat situ,” katanya di Instagram.

Pemuda berusia 25 tahun itu berkata pengundurannya dibuat dengan persetujuan kedua-dua pihak.

“Saya memohon maaf kepada semua ahli-ahli Kristal dan pihak syarikat yang selama ni banyak tolong saya.

"InsyaAllah saya akan aktif semula sebagai penyanyi solo atau berkumpulan selepas ini jika diberi peluang oleh industri muzik yang saya cintai,” katanya.

Dengan perkembangan itu, Kristal kembali kini tinggal bertiga iaitu Rody (gitaris), Acap (dram) dan Kechiq (bass). Mereka ialah anggota asal kumpulan itu.

Kecik menyertai Kristal sebagai vokalis utama bagi menggantikan Lan Solo yang membawa haluan sendiri sejak November 2017.

Sementara itu, Rody dalam responsnya - juga melalui media sosial - berkata pihaknya bersifat terbuka untuk menerima apa jua keputusan Kecik.

“Kita bersifat terbuka, tak perlu sorok, kita boleh terima apa jua keputusan, terima kasih Kecik kerana berterus-terang.

“Jiwatak boleh dipaksa dan dibeli, kita semua faham. Benda boleh selesai jika bersepakat dan berbincang.

“Selepas berbincang bersama, keputusan dibuat untuk melepaskan Kecik dari Kristal. Terima kasih Kecik. Kawan tetap kawan,” katanya.

Lihat Komen
ADS