Penyertaan Malaysia di Mipcom jana pelaburan RM90j
Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) berjaya menarik minat lapan produksi luar negara dan menjana potensi pelaburan asing ke negara ini yang berjumlah RM90.3 juta.
Pengerusinya Datuk Gerald Hans Isaac berkata perolehan itu adalah melalui promosi program Insentif Penggambaran Filem di Malaysia (Fimi) di International Market of Communications Programmes (Mipcom) 2019 di Perancis, bulan lepas.
Beliau berkata langkah itu selaras dengan misi kerajaan bagi meletakkan Malaysia sebagai pusat kandungan kreatif dan lokasi penggambaran dunia.
“Ia juga dijangka menjana kepada peningkatan peluang pekerjaan dan perkongsian kepakaran bagi tenaga produksi tempatan sebagai syarat wajib pemberian insentif kepada produksi asing di bawah FIMI,” katanya pada sidang media ConnectASIA 2019 di Kuala Lumpur, hari ini.
Hans Isaac turut memaklumkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) melalui Finas telah memeterai perjanjian transaksi jualan berjumlah RM20.72 juta berserta RM138.68 juta nilai potensi urus niaga di acara itu.
“Mipcom merupakan platform pasaran kepada penerbit, penyiar, pengedar, pembekal serta pembeli filem dan program televisyen daripada serata dunia untuk membina jaringan penjualan kandungan kreatif di peringkat global.
“Selain menjana eksport dan pelaburan, misi ke Mipcom 2019 turut berjaya meningkatkan jaringan kerjasama dan perhubungan strategik kerajaan bersama badan perfileman, pelabur, penyiar serta produksi antarabangsa dari Singapura, Perancis, United Kingdom, Korea, India dan Amerika Syarikat,” katanya.
Sebanyak 20 syarikat produksi tempatan termasuk Animasia Studio, Animonsta Studios, Double Vision dan Primeworks Distribution menyertai delegasi Malaysia ke Mipcom yang berlangsung selama empat hari bermula 14 Okt lepas.
Delegasi itu diketuai Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith dan ia turut disertai Ketua Setiausaha KKMM, Datuk Suriani Ahmad, Hans Isaac, dan Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Ahmad Idham Ahmad Nadzri.
- Bernama

