Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Guru sukar disiplinkan pelajar, anak Rita jadi mangsa buli

Menyedari gejala buli dalam kalangan pelajar semakin menular, Rita Rudaini berpendapat, mungkin pelbagai kekangan dihadapi guru - termasuk daripada ibu bapa - menjadi punca masalah berkenaan sukar dibendung.

Bagi aktres itu, kedudukan guru ketika ini tidak lagi dihormati seperti suatu ketika dulu apabila tindakan disiplin yang diambil ditafsirkan secara salah.

Keadaan itu, katanya, menyebabkan guru selalu menjadi mangsa kemarahan ibu bapa.

“Ibu bapa sekarang ni ada yang tak boleh terima anak-anak mereka ditegur. Kalau tegur, mereka serang guru balik. Sekolah zaman sekarang dah tak macam zaman dulu,” katanya.

Menurut Rita, 43, ibu bapa harus bersikap terbuka dan mempercayai guru yang mempunyai kepakaran formal untuk mendidik selagi mereka menggunakan kaedah sewajarnya.

“Masa saya sekolah dulu kena denda, kena rotan, berdiri atas kerusi pun tak ada nak bagitahu mak bapa. Kanak-kanak zaman sekarang terlalu dimanjakan.

“Saya juga bagi lampu hijau kepada guru untuk mendisiplinkan anak-anak sekiranya mereka nakal di sekolah,” katanya yang ditemui pada majlis Melodi Salute di Kuala Lumpur semalam.

Tak terpadam dalam fikiran

Program itu ialah episod khas yang diadakan sempena menyambut usia ke-30 Melodi sebagai program hiburan sensasi di TV3.

Rita berkata demikian ketika diminta mengulas isu anak sulungnya, Airit Rayyan Rizqin, 10, melalui detik hitam apabila seluarnya dilondeh oleh pelajar lain baru-baru ini.

Kejadian itu berlaku dalam kawasan sekolah dan didepan pelajar lain ketika waktu rehat.

Insiden itu menyebabkan Airit Rayyan enggan ke sekolah, selain meminta dia ditukarkan ke sekolah lain.

Mengakui hatinya luluh mengenang nasib Airit Rayyan yang menjadi mangsa buli, Rita menyeru agar ibu bapa mendidik anak masing-masing sejak dari rumah.

Kata Rita, gejala membuli harus ditegah daripada terus menjadi wabak kerana ia meninggalkan kesan trauma kepada mana-mana individu yang menjadi mangsa.

“Luluh hati saya sebagai ibu, sebab kalau saya berada di tempat Rayyan, insiden yang berlaku tu tak akan boleh dipadam dari fikiran. Untuk dia saya rasa sangat sedih,” katanya.

Menambah kekesalan, Rita berkata, ibu bapa kanak-kanak yang didakwa membuli terbabit gagal memberi respons apabila diminta berbuat demikian melalui pengetua sekolah sehinggalah ia disiarkan dalam media.

“Ni yang saya marah sangat. Ibu bapa kanak-kanak itu beri maklum balas hanya selepas saya siarkan isu ni di media. Mereka kata nak hubungi saya.

“Tapi saya tak mahu menyelesaikan perkara ini hanya melalui telefon, sebaliknya biar di depan pengetua sekolah, sebab dah tunggu terlalu lama,” katanya yang dijangka mengadakan pertemuan dengan ibu bapa kanak-kanak terbabit esok.

Lihat Komen
ADS