Dakwa dipukul suami, polis panggil isteri Da'i Farhan
Susulan laporan dibuat atas dakwaan dipukul bekas suami, polis akan memanggil isteri Da’i Farhan iaitu Fatin Nurul Ain Mat Aris untuk siasatan lanjut.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, wanita terbabit sudah diarahkan melakukan pemeriksaan perubatan di hospital berhubung kecederaan dialami.
“Bagaimanapun, wanita itu memberitahu enggan melakukan pemeriksaan perubatan kerana menurutnya laporan polis dibuat bertujuan sebagai rujukan pihak Mahkamah Syariah nanti.
“Justeru, kami akan memanggil wanita berkenaan untuk tindakan lanjut termasuk meneliti keperluan untuk memanggil beberapa individu berkaitan termasuk bekas suaminya,” katanya dipetik Harian Metro.
Bagaimanapun, Fadzil berkata, setakat ini, kertas siasatan berhubung kejadian masih belum dibuka.
“Kami perlu meneliti kejadian berkenaan dan mendapatkan maklumat lanjut daripada mangsa sendiri sebelum mengambil tindakan seterusnya,” katanya.
Semalam, Fatin dilaporkan mendakwa dirinya ditolak, dicakar dan ditampar oleh Farhan dalam kejadian yang berlaku di rumah mereka di Taman Bukit Indah, Ampang, kira-kira jam 3 pagi pada 22 Nov lalu.
Farhan sebelum itu menafikan tuduhan memukul dan mengurung bekas isterinya seperti didakwa seorang wanita bernama Asiah melalui Facebook.
Kemelut rumah tangga mereka menarik perhatian umum apabila individu bernama Ches Al-Maliki, rakan baik Fatin mula berkongsi surat terbuka yang mendedahkan pendakwah itu sudah berkahwin kali kedua pada 26 Nov lalu.
Dalam kenyataan tersebut, Farhan dikatakan berkahwin dengan janda anak lapan tanpa pengetahuan isteri pertama.
Tetapi, Farhan kemudian tampil membuat kenyataan bahawa dakwaan dibuat Ches mungkin bermotifkan dendam kerana tidak dapat menerima hakikat isterinya yang pertama rela hidup bermadu.
Pada 28 Nov lalu, Farhan mendedahkan dia sudah membuat laporan polis terhadap beberapa individu didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah menggunakan media sosial.
Tindakan itu juga bertujuan memberi pengajaran supaya netizen menggunakan medium itu dengan sewajarnya.
Kekecohan rumah tangga Farhan pada awal menyebabkan dia dipersenda umum selepas mendedahkan 18 wanita menawarkan diri untuk menjadi isteri keduanya namun ditolak kerana berasakan tiada keperluan untuk bernikah lagi.
Tapi katanya dia tidak mempunyai kekuatan untuk menolak takdir dan ketentuan Tuhan yang sudah menetapkan jodohnya dengan wanita ke-19, yang kini bergelar isteri keduanya itu.

