Anak kepada pelakon Abby Abadi, dilaporkan meninggal dunia, malam tadi, akibat kompilasi hati yang dideritainya sejak dua bulan lalu.
Abby yang kini berada di Mekah bagi menunaikan umrah berkongsi khabar duka pemergian Muhammad Danial Firman Faizal Muhammad Faizal itu melalui posting di Instagram.
"Baby D, tarik mama (dan) abah masuk syurga nanti ya sayang.
"Muhammad Danial Firman Faizal Muhammad Faizal telah pergi meninggalkan kami. Maafkan mama (dan) abah sayang," katanya dalam perkongsian tersebut.
Sebagai rekod Muhamad Danial dilahirkan dalam keadaan pramatang sewaktu kandungannya baru mencecah 23 minggu dengan berat 535 gram.
Abby melahirkan bayi lelakinya itu pada 27 September lalu secara pembedahan selepas mengalami ‘turun darah’ disebabkan tekanan darah tinggi.
Bekas bintang utama program drama TV Gerak Khas itu mendirikan rumah tangga pada pada 14 Ogos 2015 dengan Muhammad Faizal dan turut mempunyai dua anak angkat, Muhammad Daiyan Fayyad dan Maisara Dayana Fathia.
Menerusi perkahwinan terdahulu bersama pelakon Norman Hakim, Abby dikurniakan tiga cahaya mata, Mohamed Danish Hakim, 16, Marissa Dania Hakim, 14 dan Maria Danisha Hakim, 11.
Sementara itu menerusi catatannya, Abby berkata, urusan pengkebumian jenazah Muhammad Danial akan disempurnakan pagi ini.
"Pak ngah dan mak tehnya akan uruskan jenazahnya selepas subuh esok. Insya-Allah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU4, Lembah Keramat," katanya yang turut berkongsi video terakhir bersama Muhammad Danial sebelum dia berangkat menunaikan umrah pada 5 Disember lalu.
