Penganjuran ratu cantik dunia Miss Universe kali ini nampak kelam kabut.
Ketika rakyat Malaysia bergembira dengan ‘kemenangan’ Miss Malaysia Shweta Sekhon, penganjur kemudian mengumumkan Miss Filipina, Gazani Ganados sebagai pemenangnya.
Pada mulanya Shweta dipanggil ke pentas. Bagaimanapun hos pertandingan Steve Harvey mengumumkan kemenangan itu milik Filipina.
Shweta, sebagai peserta tunggal di atas pentas, kemudian memberitahu Harvey bahawa dia mewakili Malaysia, bukan Filipina.
Harvey bagaimanapun mengawal keadaan dengan selamba memberitahu dia hanya membaca dari telepanduan disediakan, sebelum meneruskan wawancara dengan Shweta.

Bagaimanapun, beberapa jam selepas itu, Miss Universe di media sosial mereka berkata hos mereka tidak membuat sebarang kesalahan.
“Miss Universe Filipina Gazini Ganados ialah pemenang pertandingan kostum kebangsaan #MissUniverse2019 National Costume competition!” tulis penganjur.
Pakaian Sekhon bertemakan warisan masyarakat Peranakan Malaysia direka oleh Carven Ong.
Malaysia belum pernah menang dalam sebarang kategori dipertandingkan dalam acara itu.
Apa yang berlaku turut mendapat kritikan pengguna maya.
