Bittersweet, Ras Muhamad meriahkan KL International Urban Youth Festival
Dengan iltizam merakyatkan seni kepada masyarakat, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) - melalui Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan - akan menganjurkan acara KL International Urban Youth Festival yang dijadual berlangsung di Dataran Medan Pasar esok dengan menampilkan kepelbagaian acara bermula dari persembahan muzik, seni graffiti, x-games hinggalah E-sport.
Menurut Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL Mohd Nazam Harun, penganjuran festival ini adalah inisiatif kerajaan di bawah program Inisiatif Wilayah Peduli (IWP) iaitu membuka ruang pada golongan remaja kota berekspresi dengan kepelbagaian sub-budaya yang mereka minati secara sihat, positif dan terkawal.
“Pada masa yang sama, ia turut membuka ruang niaga sepanjang acara ini berlangsung. Pastinya, ia dapat meningkatkan pendapatan golongan belia, di mana ia juga merupakan inisiatif salah satu program di bawah IWP.
“Pada peringkat awal ini, KL International Urban Youth Festival berlangsung dalam skala sederhana dengan penglibatan aktivis seni negara berhampiran saja seperti dari Indonesia, Thailand dan Singapura.
“Insya-Allah pada masa akan datang, kami akan kembangkan acara ini dengan penyertaan lebih luas lagi,” katanya dalam satu kenyataan.
Program seawal jam 9.30 pagi itu dimulakan dengan pelancaran program diikuti program Zumba Junior Dance Camp dan acara-acara lain yang turut bermula serentak seperti pertandingan e-Games Mobile Legend, X-Games Medan Roda, Grafitti Medan Conteng, Open Mic Rapping serta Open Busking.
Acara kemuncak ialah UrbanStage: Youth's Music Expression yang akan bermula pada 7.30 malam pula bakal menampilkan kepelbagaian nuansa artis dan pemuzik dari dalam dan luar negara yang selaras dengan jiwa remaja kota seperti Ras Muhamad, Bittersweet, Ryotjones, Diplomat of Drum dan pemuzik dari DBKL sendiri, iaitu DBKL Guitar Trio.

Antara objektif ialah bertujuan menjadikan acara sebegini sebagai produk pelancongan bagi kota Kuala Lumpur.
Acara di pusat sehenti itu diadakan secara percuma dengan kepelbagaian acara yang menarik bukan sahaja sesuai untuk golongan remaja, malah seisi keluarga.
Sementara itu, vokalis kugiran tempatan Bittersweet, Fizan berkata, peminat boleh menikmati persembahan mereka untuk bersantai di hujung minggu.
“Bagi warga kota yang merindui Bittersweet, sila datang ke Dataran Medan Pasar Sabtu ini. Ianya platform terbaik untuk anda merehatkan minda setelah seminggu penat bekerja," katanya.
Bittersweet popular dalam kalangan peminat Rock Indie dengan lagu-lagu seperti Kucing Hitam dan Capital E.
Duta Reggae Indonesia Ras Muhamad pula berkata, dia amat teruja untuk mengadakan persembahan pada malam tersebut.
“Salam silaturahim buat Malaysia, moga keterlibatan saya dalam acara ini dapat merapatkan lagi tali persaudaraan serta meraikan rasa hormat dan cinta sesama tetangga," katanya.

