Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Rasuah jadi kronik bila pelaku anggap biasa - Joko Anwar

Bukan sekadar menampilkan kehebatan watak adiwira beraksi semata-mata, filem Gundala arahan pengarah terkenal Indonesia, Joko Anwar menyentuh pelbagai sudut kehidupan terutama amalan rasuah.

Filem ini diadaptasi daripada watak komik pertama Indonesia, karya Harya Suraminata atau Hasmi.

Joko berkata, antara hasrat utamanya membawakan naskhah itu ke layar perak adalah bertujuan ‘menjentik’ umum mengenai bahaya wabak rasuah.

“Rasuah berlaku tak hanya di Indonesia, tapi Malaysia serta di seluruh dunia, saya lihat rasuah memang amat kronik di mana-mana.

“Saya guna peluang ni untuk gesa perubahan dilakukan pemimpin dan masyarakat bagi menangani isu rasuah,” katanya kepada Malaysiakini.

Joko, 43, ditemui pada majlis pratonton filem Gundala di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Mengambil contoh situasi berlaku di negara asal kelahirannya, pengarah filem Pengabdi Setan itu berkata, kesalahan rasuah dilihat semakin meruncing apabila pelakunya menganggap perbuatan mereka tidak melanggar norma dalam kehidupan.

“Rasuah dianggap perkara normal di Indonesia. Bagi saya, ia semakin membimbangkan bila si pelaku anggap kesalahan tu sebagai normal.

"Justeru, jika melalui Gundala orang ramai boleh mengubah fikiran mereka dan menanamkan dalam fikiran bahawa rasuah adalah satu kesalahan serius, hal itu sudah buat saya bersyukur.

“Hal itu kerana, pada kebiasaannya, apabila ada yang cuba jalani kehidupan mereka dengan mempraktikkan nilai-nilai murni, pasti muncul pihak yang cuba menjejaskan moral masyarakat,” katanya yang juga bertindak selaku penulis skrip Gundala.

Gundala berkisahkan watak Sancaka, dilakonkan Abimana Aryasatya yang terpaksa hidup di jalanan selepas kematian bapa dan ditinggalkan ibunya sejak kecil. 

Kesulitan hidup menyebabkan Sancaka harus bertahan untuk berdepan keadaan yang sukar.

Ketika keadaan makin buruk, Sancaka perlu memilih untuk melindungi diri sendiri atau bangkit untuk membantu melawan mereka yang menindas orang di sekelilingnya.

Selain Abimana, turut menjayakan filem berkenaan antaranya Bront Palarae, Tara Basro, Ario Bayu, Cecep Arif Rahman, Rio Dewanto dan Muzakki Ramdhan.

Gundala dijadual ditayangkan di pawagam tempatan bermula 26 Disember ini.

Sementara itu, Joko yang turut terkenal melalui filem Perempuan Tanah Jahanam itu, berkata, tidak mudah untuk menghasilkan Gundala apabila naskhah itu perlu berdepan kekangan untuk disiapkan.

“Antara cabaran besar kami adalah bajet, filem itu sepatutnya jalani 75 hari penggambaran, tapi kami diberi tempoh hanya 48 hari.

“Walaupun pada kebanyakan harinya cuaca tidak menentu dan hujan, kami berjaya juga menyiapkan Gundala dalam masa 54 hari,” katanya.

Lihat Komen
ADS