Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Dikenakan cukai royalti lepas 10 tahun, balu Loloq terpaksa jual rumah
Diterbitkan:  Dec 25, 2019 11:03 AM
Dikemaskini: 10:45 AM

Dibebani cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sejak kematian suami tercinta, balu kepada penulis lirik tersohor tanah air, Loloq, terpaksa menjual rumah yang dihuni bersama tiga anak mereka di Petaling Jaya.

Hariah Yaacob dipetik The Malaysian Insight berkata dirinya tiada pilihan lain selepas menerima surat LHDN tahun lalu yang menuntut bayaran tunggakan cukai untuk pendapatan selepas 10 tahun.

“Saya rasa panik dan iklankan untuk jual rumah, kerana kena tanggung (tindakan) akibat tak bayar. Kenapa tuntut selepas hampir 10 tahun,” keluhnya.

Ibu tunggal yang tidak bekerja dan bergantung sepenuhnya pada pendapatan hasil royalti Loloq itu berkata hal yang dikesalkannya adalah LHDN baru menuntut bayaran cukai tersebut pada tahun lalu.

Jelasnya, ini menyebabkan dia berasa panik dengan bayaran cukai yang sudah banyak tertunggak.

Lebih-lebih lagi, menurutnya, royalti yang dinikmati adalah hasil royalti suaminya yang sudah pun meninggal dunia.

“Saya rasa panik dan iklankan untuk jual rumah, kerana kena tanggung (tindakan) akibat tak bayar. Kenapa tuntut selepas hampir 10 tahun?

“Saya rasa dasar ini perlu diperbaiki kerana ibu tunggal seperti saya dan tidak bekerja. Bagaimana nak tanggung semua ini?

“Selepas arwah dah meninggal atau pun mana-mana pengkarya dah meninggal maka pewaris penama dikenakan cukai. Ia seharusnya dikecualikan cukai untuk pewaris dan penama,” katanya meluah kekesalan.

Kata Hariah, perkara itu sudah pun dibawa ke meja perbincangan, namun LHDN berkeras bahawa tunggakan itu perlu dilangsaikan mengikut tempoh yang ditetapkan.

Sejak kematian Loloq pada 2008, Hariah bergantung kepada pendapatan arwah Loloq yang tidak tetap daripada Badan Perlindungan Hakcipta Karyawan Malaysia (MACP).

Loloq, atau Rosli Khamis, atau Nurbisa, merupakan penulis lirik yang sangat sinonim dengan komposer dan penyanyi tersohor, M Nasir.

Antara lagu yang mendapat sentuhan liriknya ialah Tanya Sama Itu Hud-hud (M Nasir), Di Ambang Wati (Wings), Laila Namamu Teratas (Search), Aladin (Spider), dan banyak lagi, terutamanya dengan M Nasir.

Masalah yang dihadapi Hariah itu mendapat perhatian senator PKR, Yusmadi Yusoff yang berpandangan, seniman terutamanya yang sudah meninggal dunia wajar diberi pelepasan cukai ke atas royalti mereka.

“Royalti dapat pada balu tetapi ia dikenakan cukai pendapatan kerana secara perundangan ia adalah pendapatan.

“Untuk seseorang balu terutama yang bergantung harapan pada arwah dan balu tak bekerja adalah sangat membebankan sekiranya royalti dikenakan cukai.

“Dalam konteks ini (pelepasan cukai) perlu untuk golongan seni seperti Loloq yang sangat berjasa membangun pembangunan seni dihargai,” katanya.

Ia turut dipersetujui penulis lirik Budi Hikayat, yang berkata, pendapatan diraih komposer dan penulis lirik tidak besar dan tidak tetap kerana bergantung kepada pengunaan karya.

“Cukailah daripada syarikat buat untung bukannya daripada seniman. Sebab keuntungan seniman banyak mana pun tidak macam syarikat penerbit.

“Selain itu dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini pendapatan komposer juga merosot sehingga 70 peratus. Apa yang kami nak makan. Inikan pula pada yang sudah tiada,” katanya.

Komposer terkenal, Norman Abdul Halim yang juga bekas anggota kumpulan KRU turut menyokong pelepasan cukai diberikan, terutamanya kepada pengkarya yang hanya meraih royalti minimum.

“Ia khususnya bagi artis yang kurang berjaya atau baru meningkat naik. Bagi artis yang berjaya sewajarnya membayar cukai mengikut kadar sedia ada.

“Kerajaan sewajarnya memberi pengecualian cukai bagi pendapatan royalti bergantung kepada satu jumlah minimum yang berpatutan mengikut bilangan ahli keluarga bawah saraannya,” kata Norman, seperti dipetik The Malaysian Insight.

Lihat Komen
ADS