Persatuan Pemuisi Nasional (Pemuisi) akan melancarkan antologi puisi dwibahasa di Perth, Australia bersempena dengan program ‘Kembara Perth, Australia’ pada 27 Mei hingga 1 Jun tahun hadapan sebagai satu acara yang dirancang untuk tahun 2020.

Presidennya Datuk Dr Radzuan Ibrahim berkata antologi berbahasa Melayu dengan terjemahan bahasa Inggeris itu akan memuatkan puisi karya penyair Malaysia, Singapura dan Brunei.

“Pelancaran antologi itu akan menjadi tanda aras kepada kejayaan Pemuisi yang banyak menganjurkan acara sastera walaupun baru lapan bulan ditubuhkan. Setakat ini, Pemuisi telah menganjurkan 24 acara serta menerbitkan empat buku dan tujuh edisi Jurnal Pemuisi,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata antara aktiviti yang dianjurkan adalah tiga siri majlis baca puisi santai atau Puisi @Kedai Kopi, enam siri Perkasa Karya berupa Bengkel Penulisan Puisi, Penciptaan dan Penerbitan Lagu-lagu Puisi dan Puisi Kanak-kanak, Mesra Pemuisi @Pangkor, Malam Puisi Merdeka Pemuisi-Pena dan Malam Baca Puisi Ramadan/Penyampaian Zakat Asnaf Pemuisi.

“Selain itu, Pemuisi turut terlibat dalam acara baca puisi anjuran pihak lain atau anjuran bersama antaranya Baca Puisi Dunia KL dan Baca Puisi UMW-Pemuisi,” kata Radzuan, yang dikenali dengan nama pena, Wanrazuhar.

Pemuisi yang dilancarkan oleh penaungnya Tan Sri Hamad Kama Piah Che’ Othman pada 28 April lepas diterajui oleh sasterawan-sasterawan terkemuka tanah air.

Selain Radzuan sebagai presiden, turut menganggotai barisan kepimpinan Pemuisi ialah penyair Dr Lim Swee Tin sebagai Timbalan Presiden serta tiga Sasterawan Negara sebagai penasihat iaitu Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh, Datuk Dr Anwar Ridhwan dan Datuk Dr Zurinah Hassan.

- Bernama