Komedi gelap arahan Bong Joon Ho iaitu Parasite memenangi kategori Filem Bahasa Asing Terbaik di Anugerah Golden Globe yang ke-77, yang berlangsung di California, AS hari ini.
Anugerah itu menandakan buat julung kalinya, produk buatan Korea Selatan, menerima penghargaan daripada Hollywood Foreign Press Association.
Pada majlis tersebut, Parasite menewaskan empat calon lain iaitu, The Farewell yang mendapat arahan Lulu Wang, Pain and Glory (Pedro Almodovar), Les Miserables (Ladj Ly) dan Portrait Of A Lady On Fire (Celine Sciamma).
“Sekiranya anda berjaya mengatasi halangan (membaca) terjemahan sari kata, anda akan diperkenalkan dengan pelbagai film yang hebat.
“Dicalonkan bersama rakan-rakan pembikin filem antarabangsa lain adalah satu penghormatan. Kami hanya guna satu bahasa; pawagam,” kata Bong dalam ucapannya sewaktu menerima trofi.
Selain kategori Filem Bahasa Asing Terbaik, Parasite turut dicalonkan untuk anugerah Lakon Layar Terbaik dan Pengarah Terbaik tetapi gagal membawa pulang trofi dalam kategori berkenaan.

Parasite - yang juga pemenang Anugerah Palm d’Or di Festival Cannes tahun lalu - berkisahkan satira kekeluargaan yang memaparkan kepercayaan sistem kelas sosial melalui kehidupan dua keluarga iaitu satu kaya dan satu lagi miskin.
Ia digarap dengan unsur-unsur cemas dan lawak jenaka sajian daripada Bong.
Parasite turut disenarai pendek untuk kategori Filem Cetera Antarabangsa Terbaik untuk Anugerah Academy. Lima pencalonan peringkat akhir untuk anugerah itu akan diumumkan pada 13 Januari ini.
Sejak ditayangkan pada Oktober lalu di AS, filem berkenaan berjaya mengutip AS$23 juta (RM94,486,300) di negara Uncle Sam itu. Ia menjadikan Parasite sebagai filem dengan terjemahan sari kata yang paling popular untuk tahun itu.
Sementara itu, 1917 arahan Sam Mendes memenangi kategori Filem Terbaik Drama manakala Once Upon a Time In Hollywood (Quentin Tarantino) diangkat sebagai Filem Terbaik Muzikal atau Komedi.
Aktres Terbaik (Drama) dimenangi Renee Zellweger melalui Judy manakala Aktres Terbaik (Muzikal atau Komedi) dimiliki Awkwafina menerusi The Farewell.
Bagi kategori Aktor Terbaik (Drama), ia dimenangi Joaquin Phoenix melalui Joker dan Aktor Terbaik (Muzikal atau Komedi) menjadi milik Taron Egerton menerusi Rocketman.
