Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Raba 3 wanita, Cuba Gooding Jr dibicarakan April depan
Diterbitkan:  Jan 23, 2020 1:55 PM
Dikemaskini: 5:55 AM

Pelakon Hollywood, Cuba Gooding Jr akan dibicarakan pada 21 April depan atas tuduhan meraba tiga wanita, kata hakim dalam penghakimannya.

Gooding, dituduh menyentuh seorang daripada wanita terbabit sewaktu berada di sebuah restoran di Manhattan, AS pada September 2018.

Sebulan selepas itu, dia kemudian dituduh mencubit punggung mangsa kedua di sebuah kelab malam dan meraba payudara wanita lain tanpa kebenaran di sebuah bar di New York pada Jun tahun lalu.

Bagaimanapun, Gooding mengaku tidak bersalah ke atas enam tuduhan dibacakan terhadapnya dengan tiga daripada hukuman itu berkemungkinan bakal menyebabkan aktor terbabit meringkuk di penjara selama setahun.

Memetik AFP, Hakim Curtis Farber dari Mahkamah New York memutuskan pendakwaan berkemungkinan memanggil dua wanita lain sebagai saksi sewaktu perbicaraan.

Mereka mendakwa turut menjadi mangsa Gooding, walaupun tuduhan berkenaan bukan berada di bawah subjek prosiding jenayah.

Bagaimanapun, Farber tidak membenarkan pendakwa raya Cyrus Vance memanggil 17 lagi wanita lain untuk memberi keterangan bagi mengelak “prasangka tidak wajar” terhadap Gooding.

Gooding ialah penerima Anugerah Oscar untuk kategori pelakon pembantu terbaik pada 1997 melalui filem bertemakan bola sepak Amerika, Jerry Maguire.

Selain Jerry Maguire, Gooding juga dikenali melalui filem diterbitkan pada 1992, Boyz N The Hood serta wataknya sebagai OJ Simpson menerusi drama siri mini American Crime Story (2016).

Perbicaraan membabitkan Gooding menandakan ia kes berprofil tinggi yang ketiga tercetus selepas gerakan #MeToo yang dibawa ke mahkamah tahun ini.

Terdahulu, kes membabitkan penerbit filem terkenal, Harvey Weinstein ditetapkan pada April depan di New York manakala penyanyi R&B, R Kelly di Chicago, juga pada bulan sama.

Lihat Komen
ADS